Boleh Rentas Negeri Tetapi Perlu Patuh SOP

KUALA LUMPUR: Kelonggaran pergerakan wajar diberi memandangkan negara sudah mencapai liputan imunisasi yang tinggi iaitu mencecah 60 peratus populasi dewasa.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan kelonggaran bagi perjalanan rentas negeri dan aktiviti pelancongan.

Bagaimanapun, katanya, kelonggaran itu perlu terhad dalam kalangan individu yang sudah menerima suntikan vaksinasi lengkap.

“Kalau nak rentas negeri kerana mahu pulang ke kampung untuk menziarahi orang tua bolehlah, tapi pastikan orang tua kita juga sudah divaksinasi.

“Ini kerana risiko untuk dia menjangkiti ahli keluarga yang belum divaksin itu masih ada. Sekarang ini liputan imunisasi sudah tinggi jadi tiada sebab lagi untuk seseorang itu tidak mendapat vaksin.

“Namun aktiviti sosial seperti penganjuran majlis atau kenduri yang membabitkan orang ramai berkumpul perlu dielakkan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kerajaan dijangka memberi lebih banyak kelonggaran termasuk pergerakan rentas negeri dalam tempoh terdekat.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, perbincangan berhubung kelonggaran SOP giat dibuat, bersandarkan fakta sains dan petunjuk semasa.

Beliau juga dilaporkan berkata, kerajaan akan meningkatkan kadar pemberian vaksin di negeri yang masih merekodkan liputan bawah paras 60 peratus.

Mengulas lanjut, Dr Zainal berkata, kerajaan juga boleh mempertimbangkan memberi kelonggaran bagi aktiviti pelancongan tertentu, namun dengan SOP yang ditetapkan.

Katanya, individu lengkap vaksin perlu terus mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka di tempat awam dan menjaga jarak fizikal, maka kes baharu tidak akan meningkat. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *