Myvi Hanyut: Mayat Simon Akhirnya Ditemukan Selepas Tiga Hari

Mayat diangkat sepasukan anggota bomba selepas dikeluarkan dari timbunan pasir di tebing sungai Kampung Dambai. 

KOTA KINABALU: Mayat Simon Sange Tupe, 68, akhirnya ditemukan di timbunan pasir di tebing sungai Kampung Dambai, Jalan Kionsom, Inanam, di sini, hari ini.

Mayat ditemukan dua beradik jam 1.30 tengah hari sebelum dimaklumkan kepada pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, mayat ditemukan kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian Perodua Myvi dihanyutkan.

Katanya, mayat ditemukan tertanam di dalam timbunan pasir sejauh 800 meter daripada lokasi penemuan kenderaan.

“Mayat dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk menjalani proses ujian Covid-19 sebelum bedah siasat dijalankan.

“Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya ketika ditemui di lokasi penemuan mayat hari ini.

Mohd Zaidi berkata, polis mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa dan diharap dapat bersabar dengan dugaan ini.

Sehubungan itu, Mohd Zaidi menasihati masyarakat supaya sentiasa berhati-hati terutamanya ketika musim hujan yang menyebabkan beberapa jalan dinaiki air.

Katanya, sekiranya berhadapan laluan yang berisiko, orang ramai diminta bersabar bagi mengelakkan insiden seperti itu berulang.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada jam 2.20 petang, hari ini.

“Mayat dikeluarkan pasukan bomba dan penyelamat sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Kita berterima kasih kepada penduduk kampung yang berjaya membantu pihak berkuasa,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *