Sabah Rekod 55 Kes Kematian Harian Akibat Covid-19

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan sebanyak 55 kes kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 semalam, menjadikannya antara kes kematian harian yang tertinggi pernah direkodkan sejak pandemik COVID-19 merebak ke negeri ini lebih setahun lalu.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 12 kes kematian dilaporkan di daerah Tuaran dan 10 kes di Kota Kinabalu.

“Sebanyak tujuh kes kematian lagi dilaporkan di daerah Tawau, diikuti enam kes di daerah Sandakan, empat kes di Lahad Datu dan tiga kes di daerah Penampang.

“Selebihnya pula masing-masing dua kes kematian di daerah Putatan, Keningau, Beluran dan Papar, masing-masing manakala masing-masing satu kes kematian di Kuala Penyu, Kalabakan, Tenom, Kudat dan Kinabatangan,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Jumlah kematian yang direkodkan di Sabah semalam turut menunjukkan peningkatan 20 kes berbanding 35 kes kematian yang dilaporkan kelmarin.

Secara keseluruhan, Sabah mencatat 2,279 kes baharu COVID-19 semalam, menurun sebanyak 125 kes berbanding 2,404 kes kelmarin.

Masidi berkata, seramai 1,943 pesakit COVID-19 pula dilaporkan sembuh, manakala seramai 4,538 pesakit sedang menjalani rawatan di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

“Seramai 1,557 pesakit menjalani rawatan di hospital, manakala seramai 2,914 orang di PKRC awam, 58 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara diikuti sembilan orang di fasiliti swasta,” katanya.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, satu kluster baharu turut dilaporkan di Sandakan semalam yang membabitkan jangkitan tempat kerja di sebuah kilang papan.

Katanya, Kluster Semawang itu dikesan selepas seorang pekerja lelaki bukan warga negara berumur 40 tahun dikesan positif COVID-19 pada 19 Ogos lalu melalui saringan pekerjaan di sebuah klinik swasta.

“Tiga lagi kes dikesan pada 27 Ogos lalu di lokaliti yang sama. Berikutan itu, pengurus kilang mengambil inisiatif melaksanakan saringan terhadap 376 pekerja mulai 30 Ogos lalu dan didapati seramai 103 orang pekerjanya positif COVID-19.

“Setakat hari ini (semalam) kluster ini merekodkan 116 kes positif termasuk 103 kes baharu,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *