Tiada Kesudahan Bagi Kemelut Gaji Pekerja Kolej Sabah

Pekerja UCSF sebelum ini menyaman kolej universiti terbabit kerana memotong separuh gaji mereka.

KOTA KINABALU: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia Sabah (MTUC) menggesa kerajaan negeri campur tangan dalam pertikaian mengenai gaji antara sebuah kolej universiti miliknya dengan sekumpulan pekerja.

Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) akan ke Mahkamah Tinggi untuk mencabar keputusan mahkamah buruh pada 22 Julai yang memihak kepada 35 pekerjanya.

Pekerja terbabit menyaman UCSF kerana memotong separuh gaji mereka. Mahkamah memutuskan bahawa UCSF mesti membayar sejumlah RM94,709.35 yang mewakili gaji terkumpul yang dipotong antara Oktober dan Disember tahun lepas.

Setiausaha MTUC Sabah Catherine Jikunan, yang mewakili kumpulan itu dalam perbicaraan berkata, beliau kecewa dengan keputusan UCSF untuk memanjangkan penderitaan pekerja dengan merujuk mahkamah lebih tinggi.

Katanya, kebanyakan pekerja adalah dalam golongan B40 dan “ada yang hanya memperoleh gaji minimum RM1,200 sebulan”.

“Mereka tidak akan mempunyai dana untuk mendapatkan khidmat guaman,” tambahnya.

“Saya memohon kerajaan negeri campur tangan dalam hal ini dan mengarahkan UCSF membayar jumlah yang ditetapkan oleh mahkamah buruh,” katanya kepada FMT.

Beliau turut menggesa UCSF agar mempertimbangkan kembali keputusannya dan menyelesaikan hal itu seperti diperintahkan oleh mahkamah.

Terdahulu, seorang jurucakap bagi semua 146 pekerja UCSF yang terjejas oleh pemotongan gaji itu berkata, mereka hanya menerima separuh gaji dari September 2020 dan meminta kerajaan negeri campur tangan.

Jikunan berkata, ada maklumat bahawa kerajaan negeri telah menyalurkan sejumlah dana kepada UCSF melalui Yayasan Sabah dan wang tersebut dipercayai dimaksudkan untuk penyelesaian gaji yang belum dibayar.

Bagaimanapun tambahnya, para pekerja kemudian hanya menerima 75% daripada gaji April 2021 mereka, manakala gaji yang harus dibayar dari Oktober hingga Mac tahun ini belum diperoleh. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *