Jurulatih Cetus Kluster Baharu Di Pulapol Kota Kinabalu

Pintu Masuk Pusat Latihan Polis Kota Kinabalu. – Foto Hiasan

KOTA KINABALU: Jurulatih polis di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kota Kinabalu di sini, mencetuskan kluster baharu Covid-19 yang menjangkiti pelatih, rakan jurulatih dan pekerja dewan makan di pusat itu.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, selain di Kota Kinabalu, Kluster Jalan Pahlawan dalam Mukim Petagas itu turut membabitkan kes dari Penampang.

“Kluster Jalan Pahlawan dilaporkan di Kota Kinabalu dan Penampang hari ini adalah kluster jenis institusi latihan. Kluster ini berlaku di Pulapol Kota Kinabalu yang terletak dalam Mukim Petagas.

“Penularan jangkitan berlaku dalam kalangan pelatih konstabel polis, tenaga jurulatih polis, pekerja di dewan makan pusat latihan berkenaan serta turut menjangkiti ahli keluarga mereka,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Menurutnya, kes indeks adalah jurulatih lelaki berusia 44 tahun yang tinggal di Perumahan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Blok Orkid Kepayan dan disahkan positif Covid-19 pada 26 Ogos lalu.

Katanya, anggota polis terbabit bergejala sejak 24 Ogos sebelum menjalani ujian saringan di Klinik Kesihatan Luyang di sini.

“Kes indeks sudah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Pirasan di Kota Belud untuk rawatan lanjut.

“Daripada 72 sampel yang diambil, sebanyak 45 kes adalah positif termasuk 41 kes baharu pada hari ini, manakala sembilan sampel didapati negatif dan 18 masih menunggu keputusan ujian saringan,” katanya.

Sementara itu, Sabah pada hari ini merekodkan sebanyak 2,329 kes baharu positif Covid-19 dengan 33 kes kematian iaitu 12 kes di Kota Kinabalu, diikuti sembilan kes di Sandakan, masing-masing tiga kes di Penampang dan Tenom, dua kes di Papar, manakala masing-masing satu kes di Tuaran, Putatan, Sipitang dan Keningau.

Masidi berkata, seramai 3,355 pesakit pula dilaporkan sembuh hari ini, manakala seramai 4,907 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,580 orang di hospital, 3,285 orang di PKRC awam, 35 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan lenjara, manakala tujuh orang di fasiliti swasta.

“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal pula adalah 224 orang merangkumi 134 di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 90 orang di wad terbuka (HDW/kubikel akut), manakala 81 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *