Pemandu Maut Dihempap Kenderaan Sendiri

Keadaan kenderaan dipandu mangsa dalam selepas kemalangan tersebut.

KOTA KINABALU: Seorang pemandu maut selepas kenderaannya terjunam ke dalam gaung setinggi 15 meter di Kampung Kiambalang, Kionsom, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, kenderaan dipandu mangsa berusia 56 tahun terbabit turut hampir merempuh sebuah rumah yang berada di bawah bukit berkenaan.

Mangsa juga dipercayai terhumban keluar sebelum dihempap oleh kenderaannya sendiri.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.04 malam.

Katanya, sepasukan 16 anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS).

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan operasi mendapati kejadian hanya membabitkan seorang lelaki yang memandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

“Operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit segera dijalankan dan lelaki terbabit disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, pemeriksaan sekitar lokasi dijalankan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 9.30 malam. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *