Kabinet Baharu Perlu Seimbang – PAS Sabah

PAS Sabah mengharapkan kesepakatan untuk memberi satu kesepaduan yang kukuh dalam pembentukan Malaysia yang lebih aman dan harmoni.

KOTA KINABALU: PAS Sabah mengharapkan keadilan kepada semua komponen parti politik dan wilayah dalam pembentukan Kabinet di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan, berkata beliau yakin dengan kebijaksanaan Ismail Sabri yang berpengalaman dalam politik dan Kabinet termasuk jawatan terakhir sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Bagaimanapun katanya, PAS Sabah mengharapkan kesepakatan untuk memberi satu kesepaduan yang kukuh dalam pembentukan Malaysia yang lebih aman dan harmoni.

“Kita juga mengharapkan keadilan untuk semua, yang pertama adil dari segi parti komponen dan kedua adil dari segi wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Tidak boleh hanya satu wilayah lebih penting berbanding yang lain. Jadi kita mengharapkan perwakilan dari segi pembentukan Kabinet juga menggambarkan keadilan untuk semua wilayah,” katanya dalam kenyataan sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, berkata bagi PAS sendiri keutamaan parti itu adalah untuk melihat perpaduan dan kekuatan bersama sebagai asas pembentukan Kabinet.

“Jadi sekali lagi saya mengatakan, kita serah kepada kebijaksanaan Perdana Menteri. PAS seperti tidak meletakkan syarat mesti letak di mana-mana posisi, yang penting kita kuat bersama,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memberi jaminan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus kukuh demi mandat yang diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Apabila berlakunya kemelut politik, kita sebenarnya ada perbincangan secara tidak rasmi dan kita cukup gembira aoabila semua parti termasuk UMNO sendiri menyatakan satu komitmen yang luar biasa.

“GRS tidak akan berpecah paling kurang sehingga pilihan raya akan datang tetapi kita meletakkan lebih jauh daripada itu, jadi maknanya walau apa pun berlaku di peringkat Pusat, Sabah sudah meletakkan satu iltizam yang cukup kuat untuk terus bersama sebab GRS ini mandat dari rakyat.

“Jadi apa yang berlaku pun kita akan kekal bersama. Itu jaminan bersama secara kolektif dan konsensus dalam kalangan kepemimpinan GRS,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *