6 Warga Asing Ditahan Ceroboh Perairan TTS Pulau Tiga

6 suspek warga asing yang ditahan. – Foto Ihsan PGA

KOTA KINABALU: Enam lelaki ditahan selepas dikesan menceroboh perairan Taman Taman Sabah (TTS) Pulau Tiga, di sini, semalam.

Operasi jam 10.35 malam itu diketuai Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama renjer Taman-Taman Sabah (TTS) dan Jabatan Perhutanan Sabah.

Sebahagian hasil laut yang dirampas. – Foto Ihsan PGA

Selain itu, operasi turut disertai Unit Dron dari Pasukan Gerakan Udara (PGU), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, hasil penahanan enam suspek warga asing itu, pihaknya turut merampas kapal tunda, peralatan serta hasil laut bernilai RM1.45 juta.

Katanya, kapal tunda berkenaan dikesan membawa hasil laut di bilik beku kapal berkenaan yang dianggarkan bernilai RM200,000.

“Malah, terdapat seekor penyu sisik yang tersangkut pada pukat tunda sebaik proses menaikkan semula pukat selesai dijalankan.

“Enam yang ditahan berusia lingkungan 26 hingga 52 tahun dan semua mereka adalah warga Filipina dan Indonesia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Abduh berkata, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 48(1) (c), (d) & (p) Enakmen Taman 1984 (PIN 2007).

“Kesalahan yang dilakukan adalah memasuki kawasan taman tanpa kebenaran dan menunda pukat bagi menangkap hasil laut.

“Semua tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke Stesen Pentadbiran Taman Pulau Tiga untuk tindakan lanjut,” katanya. – Asiatimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *