Sabah Tingkat Vaksinasi Capai Imuniti Kelompok Sebelum Oktober

KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah kini sedang berusaha meningkatkan kadar vaksinasi di negeri itu, dalam usaha mencapai imuniti kelompok sebelum Oktober ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Beliau berkata, sehingga semalam 42 peratus penduduk Sabah telah menerima suntikan vaksin dos pertama COVID-19, manakala 18.4 peratus lengkap menerima dua dos, dan kerajaan negeri memberi jaminan untuk memberikan vaksin itu secara percuma kepada semua penduduk.

Jurucakap COVID-19 Sabah itu berkata, dalam usaha meningkatkan kadar vaksinasi penduduk bagi mencapai imuniti kelompok, syarikat-syarikat besar di negeri ini disaran membeli sendiri vaksin untuk diberikan kepada pekerja mereka, dan tidak menunggu vaksin percuma daripada kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri menggalakkan syarikat-syarikat besar agar menderma vaksin kepada pekerja mereka, kerana ini membolehkan syarikat berkenan beroperasi semula selepas semua pekerjanya lengkap diberi vaksin.

“Syarikat swasta khususnya syarikat perladangan juga amat digalakkan melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR), dengan melakukan pemberian vaksin untuk kebajikan pekerja mereka,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Masidi berkata, sebanyak 1.5 juta dos vaksin akan dihantar secara berperingkat ke Sabah pada bulan ini, bagaimanapun kerajaan negeri melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC), bersedia membeli vaksin sekiranya terdapat kekurangan bekalan, bagi memastikan semua penduduk memperolehi vaksin dengan kadar segera.

“Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) setiap daerah, telah diarah melaksanakan gerakan imunisasi untuk mencapai kuota imunisasi harian yang telah ditetapkan, agar pencapaian imunisasi tidak terjejas dengan kegagalan beberapa daerah mencapai sasaran pemberian dos vaksin setiap hari,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan meminta syarikat-syarikat GLC menggunakan sebahagian daripada keuntungan perniagaan masing-masing, membeli vaksin untuk kakitangan dan pekerja mereka manakala selebihnya didermakan secara percuma kepada rakyat.

Jelasnya, syarikat milik kerajaan negeri iaitu Qhazanah Sabah Sdn Bhd (Warisan Harta SB) telah dilantik oleh Pharmaniaga Bhd, sebagai wakil penjualan vaksin Sinovac di Sabah dan syarikat yang berhasrat membeli vaksin itu boleh menghubungi terus Qhazanah Sabah.

Sementara itu Masidi berkata, Sabah mencatat 1,514 kes baharu COVID-19 hari ini dengan 925 kes atau 61 peratus dikesan melalui saringan kontak rapat, 331 kes atau 21.8 peratus adalah melalui saringan bergejala, manakala selebihnya saringan kluster sedia ada. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *