Sabah Akan Beli Vaksin Sendiri, Kata Masidi

Masidi ketika hadir menyambut ketibaan kumpulan pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech untuk Sabah di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada Februari lalu.

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, kerajaan negeri memutuskan untuk membeli vaksin Covid-19 sendiri bagi menampung kekurangan sementara bekalan itu di negeri berkenaan.

Katanya, keputusan itu juga dibuat sebagai persediaan kepada sebarang gangguan bekalan vaksin yang boleh menjejas usaha negeri itu untuk mencapai imuniti kelompok.

Beliau berkata, Kabinet negeri mengambil maklum bahawa mengikut sumber-sumber yang sahih, ada kemungkinan bekalan vaksin Pfizer akan mengalami gangguan pengeluaran yang memberi impak kepada negara-negara yang menggunakan vaksin berkenaan dan Malaysia juga tidak terkecuali.

“Kerajaan negeri akan meminta syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) untuk menggunakan sebahagian daripada keuntungan perniagaan mereka bagi membeli vaksin untuk kakitangan dan pekerja mereka dan selebihnya didermakan secara percuma kepada rakyat jelata yang layak.

“Inisiatif ini akan mempertingkatkan program imunisasi dan mempercepatkan pemberian vaksin kepada semua penduduk di Sabah, katanya ketika dihubungi, hari ini.

“Kerajaan melalui GLC bersedia membeli vaksin sekiranya terdapat kekurangan bekalan bagi memastikan semua penduduk memperoleh vaksin dengan kadar segera dan perbelanjaan pembelian vaksin ini akan ditolak daripada jumlah dividen tahunan yang lazim dibayar oleh GLC kepada kerajaan negeri setiap tahun.”

Masidi yang juga jurucakap negeri Covid-19 berkata, kerajaan negeri berpuas hati dengan kadar pemberian vaksin harian yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang lain.

Katanya, sehingga semalam 42% penduduk negeri Sabah telah memperolehi satu dos dan 18.4% penduduk melengkapi dua dos.

“Kabinet negeri mengambil maklum bahawa pencapaian pemberian vaksin di setiap daerah adalah berbeza-beza.

“Sebagai contoh di daerah Beaufort 50.7% penduduk telah melengkapi pengambilan dua dos vaksin, tetapi ada juga beberapa daerah di mana pencapaian mereka kurang daripada 12%. Kabinet telah mengarah Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) menyiasat punca prestasi imunisasi yang rendah ini seterusnya mengambil tindakan segera untuk memperbaikinya.

“Pengerusi CITF (Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19) di setiap daerah telah diarah melaksanakan gerakan imunisasi untuk mencapai kuota imunisasi harian yang telah ditetapkan dan ini penting agar pencapaian imunisasi negeri Sabah tidak terjejas dengan kegagalan beberapa daerah mencapai ‘target’ pemberian dos dalam setiap hari,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bekalan vaksin yang dihantar ke Sabah adalah mencukupi.

Katanya, mengikut perancangan JKNS dan makluman daripada CITF Kebangsaan, Sabah akan menerima 1.5 juta dos vaksin pada bulan Ogos ini, yang sudah mula diterima sejak minggu lalu. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *