Naik Mendadak! Sabah Catat 1,291 Kes Baharu Covid-19 Hari Ini

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun.

KOTA KINABALU: Jumlah kes baharu Covid-19 bagi negeri Sabah hari ini melonjak secara mendadak ke angka 1,291.

Jurucakap perkembangan COVID-19 Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata empat daerah di Sabah mencatatkan kes tiga digit, yakni Kota Kinabalu 282, Tawau 177, Penampang 131 dan Papar 112.

“Lima daerah pula merekod jumlah kes harian melebihi 50 kes iaitu Tuaran 96, Sandakan 72, Sipitang 54, Beaufort 54 dan Keningau 52,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, empat daerah melepasi 20 kes harian, Kinabatangan 21, Kota Belud 28, Putatan 31, Ranau 40. Tidak ada daerah yang kes sifar semalam.

Katanya, kontak rapat kekal penyumbang utama kepada kes harian di Sabah iaitu 772 kes atau hampir 60 peratus. 

“Tetapi kes bergejala (sporadik) juga kekal tinggi, yakni 299 atau 23.2 peratus. Di daerah Kota Kinabalu 107 kes daripada 282 kes yang dicatatkan adalah melalui saringan bergejala, yakni 38 peratus. Di Tuaran, 35 peratus daripada jumlah kes juga disumbangkan oleh kategori bergejala.

“Kluster sedia ada menyumbang 70 kes  daripada jumlah kes keseluruhan dan 73 kes daripada saringan bersasar di lokaliti-lokaliti PKPD,” katanya.

Masidi menjelaskan 1,180 kes daripada 1,291 kes semalam adalah dalam kategori satu dan dua.

Katanya, terdapat dua pesakit adalah adalah dalam kategori empat dan seorang dalam kategori lima yang memerlukan rawatan rapi.

“Keutamaan sekarang ialah untuk mempertingkatkan pemberian vaksin dalam kalangan penduduk.

“Ini bermakna kita memerlukan bekalan vaksin yang cukup sepanjanag masa. Kerajaan negeri dijangka akan mengumumkan dalam masa terdekat beberapa langkah serta inisiatif baharu bagi memastikan kelancaran program vaksinasi di Sabah,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *