Bung Berdiam Diri Kerana Mahu Kekalkan Status Quo, Kata Penganalisis

KOTA KINABALU: Seorang penganalisis percaya sikap berdiam diri Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin terhadap keputusan kepimpinan parti yang menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah kerana tidak mahu mengganggu status quo negeri berkenaan.

Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata dengan tidak menyatakan secara terbuka, Bung mampu memenuhi hasrat Umno untuk menyingkirkan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, sementara memastikan parti itu terus kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Bung Moktar Radin dan Hajiji Noor (kedua dan ketiga dari kiri) serta beberapa pemimpin parti GRS selepas pilihanraya negeri Sabah tahun lalu.

FMT tidak dapat menghubungi Bung yang juga timbalan ketua menteri untuk mengulas berhubung situasi politik susulan pengumuman Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa lalu apabila parti itu menarik sokongan kepada PN.

Sebelum ini, Bung secara terbuka menyatakan sokongan terhadap GRS dan berkata Umno Sabah tetap bersama mereka ketika hubungan parti itu dan Bersatu semakin bergolak di Semenanjung.

Oh Ei Sun.

Oh memberitahu FMT bahawa sikap berdiam diri yang ditunjukkan oleh Bung setakat ini adalah kerana ingin mengambil jalan selamat bagi mengekalkan status quo di Sabah.

GRS mempunyai 48 daripada 79 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang membentuk kerajaan PN terdiri daripada (Bersatu, PAS, STAR dan SAPP), Barisan Nasional (Umno, PBRS, MCA dan MIC) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Oh berkata apa yang dimahukan Umno ialah mereka ingin mengekalkan kerajaan gabungan tetapi mahu mengetuainya, bukan Bersatu.

“Jadi, sekiranya Muhyiddin, Bersatu sanggup menjadi ‘adik’ atau orang kedua dalam gabungan ini, Umno tidak ada masalah. Ini bermaksud seseorang daripada Umno akan menjadi perdana menteri dan membuat semua keputusan, bukan Bersatu.

“Sebab itu saya rasa Bung cuba memperolehi kelebihan daripada kedua-dua pihak (dengan tidak menyatakan secara terbuka), iaitu dengan menarik sokongan kepada Muhyiddin tetapi mengekalkan gabungan kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri.

“Malah, di peringkat negeri, Bung sanggup menyerahkan kerusi ketua menteri kepada (ketua Bersatu Sabah) Hajiji Noor.

Romzi Ationg

“Dia tidak mengejar kedudukan itu dan sanggup mengekalkan status quo dalam GRS…Saya rasa Bung sudah jelas mengenai perkara ini sejak tahun lalu,” katanya.

Bung membayangkan Umno Sabah mempunyai autonomi untuk merancang masa depannya sendiri bulan lalu apabila beliau berkata parti itu percaya GRS harus dipertahankan sejajar dengan mandat diberikan orang ramai dalam pilihanraya negeri tahun lalu.

Romzi Ationg daripada Universiti Malaysia Sabah dan Tony Paridi Bagang daripada UiTM Sabah turut bersetuju dengan Oh sambil menjelaskan, Bung cuba mengelakkan negeri itu daripada berdepan ketidakstabilan politik.

“Keadaan politik di Sabah tidak begitu stabil sejak pembentukan kerajaan baharu, jadi Bung ingin mengelakkan daripada tercetusnya isu baharu,” kata Romzi.

UiTM’s Tony Paridi Bagang.

“Walaupun begitu, perkembangan di Semenanjung dilihat sebagai ujian sama ada pemimpin GRS melakukan apa yang diucapkan mereka.

“Sebagai contoh, Bung (sebelum ini) berkata apa sahaja yang berlaku di peringkat persekutuan, Umno akan bersama GRS. Mari kita lihat apa yang berlaku selepas ini.”

Bagang berkata GRS tidak perlu terkejut dengan keputusan Umno menarik sokongan kepada PN kerana sudah terdapat petanda jelas mengenai situasi yang akan berlaku.

“GRS tidak perlu panik seolah-olah ia satu perkara yang tidak dijangkakan. Mereka tidak harus hilang fokus dan terganggu kerana ini boleh menjadi peluang untuk membuktikan GRS masih utuh dan rakyat menjadi perkara paling utama,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost