Muhyiddin Dapat Sokongan Pejuang & Warisan?

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan akan mengekalkan jawatannya sebagai Perdana Menteri jika ura-ura bahawa Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) bergabung dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) menjadi kenyataan.

Berdasarkan kepada analisis pemerhati politik gabungan ahli Parlimen tiga parti itu bersama dengan pecahan ahli Parlimen UMNO yang tidak menyokong tindakan Presiden mereka, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mampu mendapatkan majoriti untuk membentuk kerajaan.

Menurut mereka, berdasarkan kedudukan terkini kerusi Parlimen Perikatan Nasional (PN) masih ada 103 kerusi iaitu Bersatu (31), Pas (18), Star (1), PBS (1), serpihan UMNO (26), MCA (2), MIC (1), PBRS (1), GPS 18 dan bebas (4).

Gabungan ini kurang lapan kerusi untuk mendapatkan majoriti mudah iaitu 111 kerusi daripada 222.

Pakatan Harapan (PH) pula hanya ada 92 kerusi iaitu PKR (35), DAP (42), Amanah (11), PSB (2), Muda (1) dan bebas (1). Mereka memerlukan 19 kerusi untuk dapat majoriti mudah,

UMNO yang masih bersama Ahmad Zahid pula dikatakan hanya ada 12 kerusi.

Sementara gabungan Bersatu, Warisan dan UPKO mempunyai 13 kerusi.

Berdasarkan kepada angka-angka ini, kem Tun Dr. Mahathir Mohamad dikatakan bakal menjadi penentu dalam membentuk kerajaan.

Jika PN bergabung dengan kem Dr. Mahathir, maka mereka akan mempunyai 116 kerusi untuk membolehkan membentuk kerajaan,.

Jika PH bergabung dengan UMNO yang bersama Ahmad Zahid mereka hanya ada 104 kerusi gagal mempunyai majoriti mudah.

Jika PH mahu membentuk kerajaan mereka bukan sahaja perlu bergabung dengan UMNO (Ahmad Zahid) tetapi juga dengan kem Tun Mahathir.

Berdasarkan analisa ini kem Dr. Mahathir jelas menjadi penentu kepada percaturan untuk membentuk semula kerajaan selepas PN hilang majoriti ekoran tindakan Ahmad Zahid bersama 11 ahli Parlimen UMNO menghentikan sokongan kepada kerajaan. – UTUSAN

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *