Sabah Rekod 1,010 Kes Positif Baharu, Dengan 12 Kematian

KOTA KINABALU : Sabah merekodkan sebanyak 1,010 kes positif baharu COVID-19 semalam menjadikan jumlah kumulatif 87,899 kes, dengan satu kluster baharu dan 12 kematian di lima daerah, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap kerajaan Sabah berkaitan COVID-19 itu berkata empat kes kematian dilaporkan di Kota Kinabalu; tiga kes masing-masing di Sandakan dan Tawau, manakala satu kes masing-masing di Tuaran dan Putatan.

Kluster baharu yang dikenal pasti ialah Kluster Sangkabok di Kuala Penyu membabitkan penularan jangkitan dalam komuniti dengan kes indeks seorang suri rumah berumur 62 tahun selepas disahkan positif RTK-Ag grading 10 peratus hasil saringan bergejala di klinik swasta pada 16 Julai lepas.

“Berdasarkan maklumat, kes indeks mempunyai sejarah perjalanan ke Beaufort untuk mendapatkan rawatan kesihatan. Saringan kontak rapat dan kontak sosial setakat hari ini, mencatat jumlah kumulatif 33 kes termasuk empat kes baharu,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Masidi berkata sebanyak 146 daripada kes baharu yang direkodkan hari ini dikesan melalui kluster sedia ada iaitu Kluster Pauh (67 kes) dan Kluster Tinabau (13 kes) di Kinabatangan serta Kluster Jalan Corak di Tongod (21 kes).

Secara keseluruhannya, Masidi berkata, jumlah kes positif COVID-19 di Sabah hari ini menunjukkan penurunan sebanyak 156 kes berbanding 1,166 kes direkodkan pada Isnin.

Kota Kinabalu masih mencatatkan kes baharu tertinggi hari ini iaitu 183 kes, diikuti Sandakan (102 kes); Kinabatangan (92 kes); Tawau (90 kes); Tuaran (79 kes) dan Penampang 68 kes.

Seramai 699 pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah kumulatif 78,792 orang, manakala seramai 4,474 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 947 orang di hospital; Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Awam (3,471 orang); pusat tahanan sementara dan penjara (48 orang) dan lapan orang di fasiliti swasta.

Mengulas perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat Sabah, beliau berkata sebanyak 1.3 juta dos telah diberikan kepada rakyat negeri itu menerusi program tersebut sehingga hari ini.

Jumlah rakyat Sabah yang mendaftar sebagai penerima vaksin turut merekodkan peningkatan dengan 1.2 juta orang atau 43.8 peratus telah membuat pendaftaran di pelbagai platform disediakan, katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *