Olimpik Tokyo: Beregu Badminton Negara Raih Gangsa Tumpaskan Jaguh Indonesia

Pemain beregu lelaki badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya meraih pingat pertama untuk negara dalam pentas sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas berjaya menewaskan pasangan beregu dari Indonesia sebentar tadi.

Dalam aksi di Musashino Forest Sport Plaza itu, pasangan utama negara terpaksa berhempas pulas bermain sehingga ke set penentuan sebelum berjaya ditabalkan sebagai pemenang pingat gangsa.

Pada set pertama, pemain beregu Indonesia dilihat lebih mengawal perlawanan selepas berjaya menewaskan pasangan negara dengan mata 21-17.

Enggan menyerah kalah, pasangan negara tampil dengan aksi yang lebih bertenaga pada set kedua selepas berjaya menundukkan beregu Indonesia itu dengan mata 21-17.

Ketika di set penentuan pula, pasangan beregu negara menampilkan persembahan lebih meyakinkan setelah berjaya menewaskan pasangan Indonesia itu dengan mata 21-14.

Kemenangan pasangan beregu negara iaitu Aaron Chia dan Soh Wooi Yik ini bermakna penantian pingat pertama daripada atlit negara yang bertanding di pentas Olimpik Tokyo 2020 berjaya dicapai melalui sukan badminton.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost