Lebih 50% Kes Covid-19 Di Sabah Dikesan Daripada Kontak Rapat

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Masidi Manjun berkata situasi itu amat membimbangkan kerana memberi gambaran masih tiada kepatuhan SOP.

KOTA KINABALU: Sebanyak 500 kes atau 54.82% daripada keseluruhan 913 kes harian dicatat di Sabah hari ini dikesan melalui saringan kontak rapat, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Masidi Manjun.

Beliau berkata situasi itu amat membimbangkan kerana ia memberi gambaran masih terdapat kebarangkalian tinggi berlaku ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan walaupun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak kerajaan.

“Jumlah kes positif Covid-19 di Sabah adalah amat tinggi pada hari ini iaitu 913 kes dengan peningkatan sebanyak 172 kes berbanding 741 kes yang dicatatkan semalam (27 Julai), malah Kota Kinabalu sahaja mencatatkan 234 kes baharu termasuk 27 kes adalah daripada Penjara Kepayan.

“Seluruh daerah di Negeri Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif Covid-19 yang terus meningkat, sekali gus menunjukkan trend yang terus melonjak dan membimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap rasmi Covid-19 negeri Sabah berkata tiga kluster baharu direkodkan semuanya dikesan di Keningau iaitu Kluster Bayangan dan Kluster Bariawa Laut kedua-duanya kluster komuniti serta Kluster Menawo Baitah membabitkan kluster tempat kerja.

“Kluster Bayangan melibatkan penularan di Mukim Bingkor dan Luagan disyaki berpunca daripada perkumpulan keluarga dari luar daerah dengan 21 kes kumulatif, Kluster Bariawa Laut juga berkaitan perkumpulan keluarga mencatat 13 kes kumulatif.

“Kluster Menawo Baitah pula disyaki berpunca daripada pergaulan sesama keluarga yang akhirnya tersebar kepada rakan-rakan melibatkan 16 kes kumulatif,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *