‘Pancing Karan’ Ancam Keselamatan, SESB Rugi Hingga RM30 Juta

Anggota Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) ketika membuat operasi memotong dan memusnahkan sambungan haram atau dipanggil “pancing karan” bagi mencuri bekalan elektrik di Lorong Keleto Lembaga Padi Inanam di sini.

KOTA KINABALU : ‘Pancing karan’,  panggilan orang tempatan merujuk kepada kegiatan membuat sambungan haram bagi mencuri bekalan elektrik, bukan sesuatu yang asing di Sabah terutama dalam kalangan penduduk kawasan setinggan pendatang tanpa izin.

Bernama yang mengikuti operasi membanteras kegiatan itu di Lorong Keleto, Kampung Bawang dan Kampung Suang Parai di sini selama dua hari berakhir hari ini, melihat sendiri tindakan tidak bertanggungjawab mereka yang terlibat menyambung kabel haram secara terus ke peti pembekal arus. 

Kabel haram yang telah disambungkan pada tiang pembekal arus, kemudian direntang hingga ke kawasan awam termasuk merentas sungai sehingga mengancam keselamatan orang ramai yang tinggal di kawasan terbabit  selain merugikan banyak pihak.

Ketua Pegawai Transformasi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Norhizami Abu Hassan  berkata ‘pancing karan’ perbuatan yang tidak boleh dipandang ringan kerana boleh menyebabkan gangguan serius kepada sistem bekalan elektrik, malah kematian orang awam.

“Justeru SESB bersama pihak berkuasa tempatan melakukan operasi bagi membanteras kegiatan itu bagi menjamin keselamatan orang awam daripada terkena renjatan elektrik, selain memastikan bekalan tenaga elektrik tidak terganggu dan lebih stabil diberikan kepada pengguna yang sah.

“SESB juga mengalami kehilangan tenaga bukan teknikal dengan kerugian dianggarkan kira-kira RM25 juta hingga RM30 juta akibat sambungan haram di kawasan penempatan setinggan ini.  Diharap isu penempatan setinggan pendatang tanpa inzin kita dapat selesaikan segera,” katanya kepada Bernama dan RTM.

Norhizami berkata pihaknya sedang berkerjasama dengan kerajaan Sabah bagi mengenal pasti penempatan yang boleh diberikan bekalan elektrik secara khas menggunakan meter elektrik prabayar, dan perkara itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat selepas mendapat persetujuan semua pihak.

Mengenai operasi dua hari itu, beliau berkata seramai 73 petugas terlibat yang terdiri daripada 51 petugas SESB, tujuh petugas Suruhanjaya Tenaga manakala selebihnya pihak berkuasa tempatan serta pihak berkuasa lain antaranya Polis Diraja Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Tenaga Pantai Barat Sabah Jeffrey Nuri berkata tiga kes kematian renjatan elektrik akibat perbuatan ‘pancing karan’ direkodkan tahun ini, terbaharu membabitkan seorang lelaki dipercayai pendatang tanpa izin maut terkena renjatan elektrik di Lorong Keleto pada 4 April lepas.

“Kami di Suruhanjaya Tenaga memandang serius kegiatan ini, sehubungan itu orang awam diingatkan agar tidak terlibat melakukan sambungan haram kerana bukan sahaja tidak adil kepada pengguna lain bahkan melibatkan keselamatan orang awam,” katanya.

Anggota Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) ketika membuat operasi memotong dan memusnahkan sambungan haram atau dipanggil “pancing karan” bagi mencuri bekalan elektrik.

Beliau berkata mereka yang didapati terlibat dengan kegiatan itu akan diambil tindakan tegas di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan itu juga boleh melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Seorang penduduk tempatan, Abdul Wahab Selamat, 51, berkata pihak berkuasa telah berulang kali mengambil tindakan terhadap kegiatan ‘pancing karan’ di Lorong Keleto, Kampung Bawang, dan Kampung Suang Parai, tetapi masalah terus berlaku kerana kedegilan mereka terlibat.

“Hari ini operasi datang bersihkan semua kabel ‘pancing karan’, tidak sampai seminggu pendatang tanpa izin sambung semula kabel haram, jadi pada pendapat saya lebih baik usir pendatang ini dan bersihkan kampung daripada setinggan,” katanya.

Seorang suri rumah, Noor Maizunah Zainul, 44, pula berkata bekalan elektrik di kawasan rumahnya di Inanam di sini kerap terputus akibat sambungan haram, malah terdapat pendatang tanpa izin mengambil upah RM50 bagi menyambung satu kabel haram tersebut.

“Dalam sebulan paling kurang empat atau lima kali terputus elektrik, masalahnya berpunca daripada pendatang tanpa izin yang membina penempatan setinggan sesuka hati dan ada yang bertindak agresif apabila penduduk tempatan cuba nasihat,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *