Perkumpulan Keluarga Cetus 3 Kluster Baharu Di Keningau

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Tiga kluster baharu COVID-19 di Sabah yang dilaporkan di daerah Keningau hari ini dikaitkan dengan aktiviti perkumpulan keluarga yang akhirnya menjadi punca penularan jangkitan dalam komuniti dan tempat kerja.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kluster terbabit iaitu Kluster Bayangan, Kluster Bariawa Laut dan Kluster Menawo Baitah dikesan melalui saringan bergejala dan saringan tempat kerja.

Katanya, Kluster Bayangan membabitkan penularan COVID-19 dalam komuniti di Mukim Bingkor dan Luagan, manakala Kluster Bariawa Laut dan Kluster Menawo Baitah masing-masing di Mukim Patikang dan Kali serta Mukim Seberang, Lingkudau dan Luagan, Keningau.

“Kluster Bayangan membabitkan penularan COVID-19 dalam komuniti di Mukim Bingkor dan Luagan yang disyaki berpunca daripada perkumpulan keluarga dari luar daerah. Kes indeks ialah lelaki berumur 38 tahun dikesan positif melalui saringan bergejala di Hospital Keningau pada 25 Julai.

“Saringan kontak rapat bagi tempoh 25 hingga 27 Julai menunjukkan pertambahan bilangan kes positif dalam kalangan ahli keluarga dan kontak rapat kes indeks. Setakat hari ini, kluster ini merekodkan jumlah kumulatif 21 kes positif termasuk tujuh kes baharu,” katanya dalam kenyataan media malam ini.

Bagi Kluster Bariawa Laut, katanya ia mula dikesan apabila kes indeks iaitu wanita berumur 36 tahun yang juga disahkan positif COVID-19 melalui saringan bergejala pada 25 Julai.

Sementara itu, katanya Kluster Menawo Baitah dikategorikan sebagai kluster komuniti dan tempat kerja yang menular di Mukim Seberang, Lingkudau dan Luagan di daerah Keningau serta di daerah Tambunan.

Masidi berkata, Sabah sekali lagi merekodkan kes baharu COVID-19 yang tinggi dengan sebanyak 913 kes hari ini, menjadikannya yang tertinggi sejak Januari tahun ini, jauh melepasi rekod tertinggi sebelum ini iaitu 818 kes yang dicatat pada Ahad lalu.

Beliau berkata jumlah kes baharu COVID-19 pada hari ini menunjukkan peningkatan 172 kes berbanding 741 kes yang dilaporkan semalam. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *