Penerima Vaksin Sinovac Perlu Dos Ketiga

Pakar kesihatan mencadangkan supaya penerima vaksin Sinovac diberi suntikan ketiga untuk mendapatkan perlindungan yang optimum. -Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR : Pakar-pakar kesihatan mencadangkan agar kerajaan memberikan dos ketiga atau dos penggalak (booster) kepada penerima vaksin jenis Sinovac di negara ini.

Pakar Virologi Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr Yahya Mat Arip berkata, berdasarkan kajian daripada penyelidik China, vaksin itu hanya mempunyai tahap antibodi 16.9 dan 35.2 peratus melebihi paras ambang enam bulan selepas dos kedua.

Jelasnya, tahap minimum keberkesanan sesuatu vaksin yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah melebihi 50 peratus.

“Ia tidak bermaksud vaksin Sinovac ini tidak berkesan, cuma ia memerlukan dos tambahan bagi memastikan individu yang menerima vaksin itu dapat perlindungan yang optimum.

“Jika dos ketiga ini boleh memberikan perlindungan melebihi daripada 50 peratus, ia adalah sesuatu yang baik dan perlu pertimbangkan serta laksanakan.

“Jadi, kalau ini yang dilaporkan, bermaksud ada keperluan untuk kita ambil dos yang ketiga.

“Perkara berkenaan keperluan dos ketiga ini juga telah berada dalam perhatian pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Ahad lalu, agensi berita Reuters melaporkan, keberkesanan antibodi daripada vaksin Sinovac merosot dalam tempoh enam bulan selepas suntikan kedua bagi kebanyakan penerima.

Tambah laporan itu, suntikan ketiga boleh memberi kesan rangsangan yang kuat, meningkat perlindungan antara tiga hingga lima kali ganda berbanding situasi pada minggu keempat selepas dos kedua.

Mengulas lanjut, Dr Yahya berkata, dos ketiga juga diperlukan memandangkan terdapat kes-kes yang melibatkan varian baharu yang lebih cepat menular.

“Kalau kita lihat kepada situasi semasa, ada kes melibatkan varian baharu. Jadi, keperluan untuk dos perangsang ini memang ada disebabkan varian baru ini,” ujar Dr Yahya.

Tambah beliau, keperluan dos ketiga juga adalah kerana Sinovac merupakan vaksin yang dinyahaktifkan selain menggunakan teknologi tradisional jika dibandingkan dengan AstraZeneca dan Pfizer yang dihasilkan daripada teknologi lebih moden.

Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Zamberi Sekawi pula berkata, dos penggalak perlu diutamakan kepada golongan berisiko tinggi.

Menurutnya, golongan tersebut terancam sekiranya laporan berkaitan antibodi merosot itu benar dan ditambah dengan varian baharu wujud seperti Delta.

Tambah beliau, cadangan penambahan dos bagi vaksin Sinovac juga perlu melihat kepada keadaan semasa.

“Kena tengok risiko semasa, jika kes banyak misalnya ia satu keperluan. Tetapi apabila kes menurun dan kematian tak banyak, hanya beri kepada individu berisiko.

“Kita juga kena lihat data daripada negara lain. Jangan fokus kepada satu data sahaja.

“Kena ada kajian melibatkan lebih ramai lagi. Kalau betul, memang kena ada dos penggalak,” ujar Dr Zamberi.

Ahad lalu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kumpulan pakar akan mengemukakan syor mengenai dos ketiga atau booster shot pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) minggu ini.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia / SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost