Peningkatan Kes Di Sabah Disebabkan Pengesanan Kontak Rapat – Masidi

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Peningkatan mendadak kes COVID-19 di Sabah adalah berpunca daripada pengesanan kontak rapat yang dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Jurucakap kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun berkata peningkatan itu juga berlaku ekoran saringan yang dilakukan secara meluas.

Malah, beliau yang juga merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri menambah bahawa setakat ini, tiada kluster baharu yang melibatkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) kebenaran dine-in di restoran.

“Kes yang tinggi juga berpunca daripada kemampuan JKNS mengesan kontak-kontak rapat dengan lebih berkesan dan membuat saringan yang lebih meluas.

“Virus sudah berada di komuniti jadi pengesanan kontak perlu diperluaskan kepada setiap orang yang disyaki kotak rapat dan menjalani saringan.

“Setakat ini belum ada kluster restoran atau yang dikenalpasti berpunca daripada kedai makan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambahnya, kerajaan negeri turut mengambil pendekatan baharu dalam menangani isu ini dengan mempertingkatkan lagi kadar imunisasi harian.

“JKNS sudah mampu memberi vaksinasi melebihi 30 ribu sehari dan ia akan dipertingkatkan kepada lebih 50 ribu dos sehari,” katanya lagi.

Mengulas mengenai cadangan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam mempertingkatkan lagi bekalan vaksin bagi negeri ini memandangkan negeri ini turut didiami warga asing dan pendatang tanpa izin (PATI), Masidi berkata semua penduduk yang tinggal di negeri ini akan diberi vaksin, dengan keutamaan diberikan kepada warganegara dahulu. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *