Paras Antibodi Vaksin Pfizer, AstraZeneca Menurun Selepas 2-3 Bulan – Kajian

Menurut kajian, paras antibodi vaksin Pfizer, AstraZeneca mungkin berkurang lebih 50 peratus dalam 10 minggu.

MUMBAI: Paras antibodi keseluruhan mula menunjukkan pengurangan 0.95 peratus (%) dengan imunisasi penuh vaksin COVID-19 Pfizer dan 1.54% AstraZeneca serta boleh berkurangan melebihi 50 peratus selepas 10 minggu, menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal The Lancet.

Penyelidik dari Kolej Universiti London (UCL) di United Kingdom (UK) mendapati, jika paras antibodi berkurangan pada kadar terbabit, terdapat kebimbangan kesan perlindungan vaksin akan mula hilang terutama terhadap varian COVID-19 yang baharu.

Bagaimanapun, penyelidik berkata, secepat mana perkara itu boleh berlaku belum dapat diramalkan.

Kajian Virus Watch UCL turut mendapati paras antibodi jauh lebih tinggi selepas menerima dua dos vaksin Pfizer berbanding perlindungan ‘dibekalkan’ menerusi suntikan dua dos vaksin AstraZeneca atau dikenali sebagai Covishield di India.

Paras antibodi juga lebih tinggi bagi individu yang divaksinasi berbanding individu dijangkiti SARS-CoV-2, kata penyelidik terbabit.

“Paras antibodi selepas menerima dua dos suntikan sama ada vaksin AstraZeneca atau Pfizer pada awalnya amat tinggi, yang mungkin menjadi bahagian penting mengapa ia amat memberi perlindungan terhadap serangan COVID-19 yang teruk,” kata penyelidik Institut Kesihatan Informatik UCL, Madhumita Shrotri.

“Bagaimanapun, kami menemui paras antibodi berkurangan secara ketara dalam tempoh dua hingga tiga bulan,” jelas Shrotri dalam satu kenyataan.

Menurut penyelidik, dapatan itu adalah hasil kajian terhadap 600 individu berumur 18 tahun ke atas meliputi segenap kumpulan usia, penyakit kronik atau jantina.

Penulis menekankan, walaupun implikasi klinikal membabitkan pengurangan paras antibodi masih belum jelas, beberapa penurunan adalah seperti jangkaan dan penyelidikan terkini menunjukkan bahawa vaksin tetap berkesan terhadap penyakit yang teruk.

Berdasarkan kajian itu, vaksin keluaran Pfizer menunjukkan paras antibodi yang berkurangan dari median 7,506 unit per mililiter (U/mL) pada tempoh 21 hingga 41 hari kepada 3,320 U/mL pada tempoh 70 hari atau lebih.

Untuk vaksin AstraZeneca, paras antibodi berkurangan dari median 1,201 U/mL pada sifar hingga 20 hari kepada 190 U/mL pada tempoh 70 hari atau lebih, menyaksikan pengurangan lima kali ganda.

“Ketika kami sedang memikirkan siapa yang harus diutamakan untuk pemberian dos penggalak, data kami mengesyorkan mereka yang menerima vaksin paling awal, terutama vaksin AstraZeneca kerana cenderung mempunyai paras antibodi yang paling rendah,” kata Prof Rob Aldridge dari Institut Kesihatan Informatik UCL.

Dapatan penyelidikan ini menyokong syor bahawa golongan dewasa yang rentan secara klinikal, individu berumur 70 tahun ke atas dan semua penghuni rumah jagaan warga tua harus diutamakan sebagai penerima dos penggalak, kata beberapa penyelidik.

Tambahan pula, penerima vaksin AstraZeneca cenderung mempunyai paras antibodi yang jauh lebih rendah berbanding individu yang menerima suntikan vaksin Pfizer, kata penyelidik terbabit.

“Ini juga perlu dipertimbangkan ketika hendak memutuskan siapa yang harus diutamakan apabila suntikan penggalak dilaksanakan,” kata Aldridge dalam kenyataan.

Menurut penyelidik terbabit, penyelidikan selanjutnya adalah mustahak bagi memperkenal nilai ambang paras antibodi yang diperlukan untuk perlindungan terhadap penyakit yang teruk. – Agensi

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *