Sabah Dalam Rangka Capai 60% Penduduk Divaksin, Kata Hajiji

Hajiji Noor berkata sesuatu kepada salah seorang penerima vaksin dalam lawatannya ke PPV Keningau, hari ini. – Foto JKM Sabah

KENINGAU: Ketua Menteri Hajiji Noor berkata, Sabah kini berada dalam rangka mencapai matlamat memvaksin sekurang-kurangnya 60% penduduknya pada Oktober selepas program jangkauan luar (mobile outreach) menunjukkan hasil yang baik setakat ini.

Katanya, berdasarkan angka program berkenaan oleh Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF), jumlah sebenar orang yang disuntik telah melebihi sasaran selama empat hari berturut-turut bermula 21 Julai.

Beliau berkata, pada 21 Julai, penduduk yang sudah mendapatkan sama ada dos pertama atau kedua vaksin adalah seramai 31,375 orang manakala pada 22 Julai (32,293), 23 Julai (35,749) dan 24 Julai (32,504).

“Dengan ketibaan vaksin dos tunggal CanSino yang dijangka pada bulan depan, Sabah kini berada dalam rangka untuk mencapai sasaran itu,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) daerah di Kompleks Sukan Keningau, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, pembukaan pusat pemberian vaksin (PPV) integrasi pertama Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 28 Julai ini dijangka membantu meningkatkan kadar vaksinasi di negeri ini.

Katanya, bersama dengan program sedia ada, iaitu Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) untuk pekerja industri, PPV Integrasi yang melibatkan dua organisasi penjagaan kesihatan swasta diharap dapat meningkatkan vaksinasi daripada 1,500 hingga 10,000 sehari.

Sementara itu, beliau berkata, Sabah akan menerima satu juta dos vaksin Pfizer dan menjangka penghantaran 1.8 juta dos vaksin CanSino yang diminta menjelang bulan depan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost