‘Terjun’ Di Lampu Isyarat Likas, Suspek Jenayah Positif Covid-19 Diburu Polis

Lo Hin Khiong yang disahkan positif Covid-19 diburu polis selepas melarikan diri. – Foto PDRM

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang disahkan positif Covid-19 diburu polis selepas melarikan diri ketika dalam perjalanan ke Pusat Kuarantin Likas, kelmarin.

Dalam kejadian 5.45 petang, Lo Hin Khiong, 38, diambil dari Balai Polis Penampang menggunakan kenderaan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) untuk dibawa ke pusat kuarantin berkenaan.

Bagaimanapun, suspek melarikan diri ketika sampai di kawasan lampu isyarat berhampiran simpang empat Kompleks Sukan Likas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Mohd Zaidi Abdullah, berkata siasatan awal mendapati suspek dibebaskan oleh polis daerah Penampang untuk dihantar ke pusat kuarantin berkenaan.

Katanya, suspek yang duduk di tempat duduk penumpang belakang membuka pintu kereta dan terus melarikan diri.

“Petugas JKNS cuba memanggil suspek, namun lelaki terbabit tidak mempedulikan dan terus menghilangkan diri.

“Petugas JKNS terus membuat laporan untuk memaklumkan kejadian berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Zaidi berkata, siasatan awal mendapati, suspek ditahan pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, Jumaat lalu, untuk disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Katanya, suspek ditahan reman empat hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis selepas disahkan positif Covid-19.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta tampil menyalurkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan polis untuk siasatan lanjut,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *