Warga Emas Cetus Kluster Pusat Rawatan Di Sandakan

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga emas positif COVID-19 mencetuskan satu kluster di Sandakan yang membabitkan petugas pusat rawatan, di kenali sebagai Kluster Jalan Utara Dua, semalam.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, ia tercetus selepas lelaki berusia 74 tahun disahkan positif COVID-19 itu menjalani ujian saringan Genexpert PCR dan melakukan X-ray.

“Saringan seterusnya mendapati 11 kes positif membabitkan dua kakitangan, sembilan pesakit, seorang penjaga tahanan dan satu lagi kes kontak serumah.

“Setakat hari ini, kumulatif kes adalah 13 orang termasuk 11 kes baharu hari ini (semalam),” katanya dalam kenyataan, semalam.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, pihaknya turut mengesan tiga lagi kluster baharu dipanggil Kluster Jalan Stesen TV di Tawau dan Kluster Bukit Mas dekat Kinabatangan.

“Kes indeks Kluster Jalan Stesen TV di Tawau membabitkan penularan jangkitan di sebuah ladang ternakan ayam dekat Mukim Sri Tanjung dan kes indeks buruh lelaki berusia 24 tahun bukan warganegara.

“Saringan kontak rapat mengesan 48 kes positif dalam kalangan keluarga, rakan sekerja serta jiran yang tinggal di kuarters pekerja.

“Daripada 124 kontak yang disaring, kluster ini merekodkan 68 kes positif termasuk 19 kes baharu,” katanya.

Menteri Kewangan II itu turut berkata, Kluster Bukit Mas tercetus di Ladang Sawit Bukit Mas di Mukim Sukau membabitkan seorang lelaki berusia 32 tahun yang bekerja sebagai kerani stor.

“Saringan kontak mendapati 10 lagi kes positif dalam kalangan keluarga, pekerja dan tanggungannya menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini sebanyak 11 kes,” katanya.

Beliau berkata, Kluster Kampung Mananam di Tongod yang tercetus berpunca daripada kes indeks seorang lelaki berusia 49 tahun bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah rendah.

“Saringan kontak mendapati 14 lagi kes positif dalam kalangan komuniti di sekitar kampung terbabit sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini sebanyak 20 kes termasuk lima kes baharu,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *