Individu, NGO Lindungi PATI Berdepan Hukuman Berat

Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud

PUTRAJAYA: Individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan majikan yang didapati melindungi dan menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) bakal berhadapan hukuman berat mengikut undang-undang Imigresen.

Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud, berkata mereka yang melindungi atau menggajikan PATI boleh dikenakan denda mencecah RM50,000 mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55B akta sama.

Beliau berkata, mereka juga boleh dikenakan hukuman penjara atau enam kali sebatan jika terbabit dengan kegiatan itu.

“Warga asing yang didapati bersalah pula akan didakwa mengikut Seksyen 6(1)(C) serta 15(1)(C) dan akan diusir keluar selepas mereka menjalani hukuman selain disenarai hitam daripada memasuki Malaysia di masa hadapan,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Khairul Dzaimee, seramai 1,701 majikan sudah didakwa dan didenda sebanyak RM33,073,500 antara 2019 hingga tahun ini.

Pada 2019, katanya, seramai 1,052 majikan didenda dengan jumlah denda RM19,327,900, diikuti 509 majikan dengan jumlah denda RM10,456,600 pada tahun lalu dan 130 majikan dan RM3,289 denda bagi tahun ini.

Khairul Dzaimee berkata, bagi tempoh tiga tahun sejak 2019, seramai 979 individu dikenakan tindakan kerana melindungi PATI.

Katanya, majikan yang menggaji PATI pula boleh disabitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda tidak kurang RM10,000 tetapi tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap pekerja yang digaji.

“Jika bilangan pekerja PATI berkenaan melebihi lima orang hukuman yang boleh dikenakan ialah penjara tidak kurang enam bulan tetapi tidak lebih lima tahun serta boleh dikenakan sebatan tidak melebihi enam kali sebatan.

“Jabatan Imigresen menasihatkan majikan atau individu yang mengambil PATI untuk bekerja supaya segera mendaftarkan mereka dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja atau Rekalibrasi Pulang yang dilanjutkan sehingga 31 Disember ini,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, setakat Khamis lalu, seramai 155,124 PATI sudah mendaftar dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja, manakala 102,592 PATI mendaftar dalam program Rekalibrasi Pulang.

Katanya, PATI yang berdaftar dalam program Rekalibrasi Tenaga Kerja akan dipertimbangkan untuk diberi vaksin COVID-19 bersama warga asing lain yang tinggal di negara ini. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *