Berita Baik Buat Penerima 2 Dos Vaksin Dalam Beberapa Hari – PM

Muhyiddin Yassin berharap kelonggaran untuk penerima lengkap dua dos vaksin akan memberikan sedikit ruang, keselesaan bagi orang ramai meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

PUTRAJAYA: Mereka yang melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 dijangka menerima berita baik tidak lama lagi.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan mengumumkan kelonggaran SOP khusus bagi mereka dalam beberapa hari lagi.

“Kita akan muktamadkan perkara ini dan saya akan umumkannya sebagai satu pakej penuh, termasuk dalam aspek sosial, sukan dan aktiviti makan di restoran. Perincian ini akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya dalam temu ramah khas dengan media.

Beliau berkata, antara kelonggaran yang diberikan termasuk SOP bagi pergerakan dalam negara, termasuk perjalanan rentas sempadan, terutama melibatkan suami atau isteri yang tinggal berjauhan.

“Saya benar-benar berharap langkah ini akan memberikan sedikit ruang, keselesaan bagi orang ramai untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik.”

Pada 17 Julai lepas, Muhyiddin mengumumkan kelonggaran bagi individu yang melengkapkan dua dos vaksin akan diputuskan mesyuarat Pelan Pemulihan Negara (PPN) minggu ini.

Beliau dilaporkan berkata, ini selaras pembukaan lebih banyak sektor ekonomi apabila negeri beralih ke Fasa Dua PPN, terutamanya di Lembah Klang.

PPN dijadualkan dibentang Muhyiddin dalam sidang khas Parlimen bermula Isnin ini.

Merujuk persidangan khas Parlimen, Muhyiddin berkata, walaupun sesi itu akan dibuka untuk perbahasan, kerajaan tegas dengan keputusan untuk meneruskan PPN sehingga keadaan negara pulih. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost