Labuan Dijangka Capai Imuniti Kelompok Akhir Bulan Ini

Pasukan vaksinasi bergerak Jabatan Kesihatan Labuan juga telah mula memberikan suntikan vaksin kepada orang kurang upaya (OKU), warga emas dan pesakit terlantar dari rumah ke rumah.

LABUAN, 22 Julai : Labuan dijangka mencapai imuniti kelompok mengawal penularan COVID-19 akhir bulan ini, apabila penduduk dewasa yang menerima vaksinasi meningkat kepada 92.41 peratus hari ini.

Pengerusi Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 Labuan Rithuan Ismail berkata pencapaian itu adalah hasil kerja berpasukan ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan bersama wakil Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dan para sukarelawan daripada Privo Team.

“Kita gembira dengan peningkatan kesedaran penduduk tempatan tentang kepentingan imunisasi. Berdasarkan data, bilangan individu yang telah divaksin kini ialah 63,300 daripada 68,500 jumlah orang dewasa yang layak, dengan 70.95 peratus atau 48,353 telah melengkapkan dos kedua vaksin,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata Labuan menyasarkan pemberian vaksin kepada 95 peratus penduduk dewasa untuk mengekang penyebaran COVID-19 bukan sahaja kepada penduduk tempatan, tetapi juga kepada warga asing di penempatan setinggan pelarian Filipina dan kakitangan sektor gas dan minyak serta perkapalan.

Pengerusi MPP Mohd Dzulfaizal Ab Manan berkata kehadiran di sembilan pusat pemberian vaksin (PPV) masih tinggi iaitu lebih 2,000 orang sehari dalam tempoh seminggu ini.

“Program vaksinasi di Labuan berjalan dengan sangat baik, kita telah merekodkan kehadiran lebih 3,000 orang sehari untuk vaksinasi dalam tempoh dua minggu terakhir ini,” katanya dan menambah kebanyakan orang dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin di pulau bebas cukai itu.

MPP Labuan ialah penyelaras untuk vaksinasi secara ‘walk-in’ atau jumpa terus, dan pandu lalu di Kolej Matrikulasi Labuan, Jabatan Kerja Raya dan Kampus Antarabangsa Universiti Malaysia Sabah.

Labuan mencatatkan 24 kes COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah jangkitan ke 9,527 kes, manakala dua kematian dilaporkan menjadi jumlah keseluruhan kematian sebanyak 144 kes.

Jumlah kes harian yang direkodkan ini adalah penurunan ketara berbanding angka tiga digit yang dilaporkan pada Jun lepas. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *