3 Penjawat Awam Ditahan Guna Kenderaan Kerajaan Bawa PATI

Pesuruhjaya Polis Sabah, Hazani Ghazali.

KOTA KINABALU: Tiga penjawat awam ditahan selepas dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan kenderaan kerajaan bagi melepasi sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Kunak-Tawau, pada 14 Julai lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, tiga lelaki berusia 39 hingga 49 tahun itu dikatakan menggunakan dua pacuan empat roda dengan lambang sebuah agensi kerajaan dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Bagaimanapun, tindakan mereka melepasi SJR yang diadakan polis di sepanjang laluan berkenaan gagal selepas kenderaan dipandu laju itu menimbulkan curiga pihak berkuasa.

Sumber berkata, selepas melepasi tiga SJR, kumpulan berkenaan kemudian ditahan di kawasan Balung, Jalan Apas, Tawau.

Katanya, ketiga-tiga suspek dibawa ke Balai Polis Sri Indah untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal mendapati, ketiga-tiga suspek mengaku membawa 15 penumpang dipercayai PATI dari Lahad Datu menuju ke Tawau.

“Bagaimanapun, ketika ditahan, hanya tiga penjawat itu saja yang ada dalam kenderaan terbabit, manakala semua PATI terbabit sudah melarikan diri,” katanya.

Isnin lalu, kejadian berkenaan tular di laman sosial sehingga menimbulkan pelbagai reaksi netizen yang meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas bagi mengelak insiden sama berulang pada masa depan.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi hari ini, mengesahkan penangkapan tiga individu terbabit.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost