Bung Mahu Vaksin Diberikan Secara ‘Walk-In’ Di Sabah

Datuk Seri Bung Moktar Radin.

KOTA KINABALU: Pemberian vaksin COVID-19 secara ‘walk-in’ atau tanpa janji temu perlu dipertimbangkan kepada penduduk di Sabah yang belum menerima janji temu walaupun sudah mendaftar sebagai penerima vaksin.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata kaedah itu perlu dilaksanakan khususnya di kawasan luar bandar yang berdepan masalah perhubungan dan liputan telekomunikasi.

“Saya menyarankan kepada pihak yang terbabit supaya melaksanakan inisiatif lain bagi menggalakkan lagi pendaftaran vaksin memandangkan kaedah melalui MySejahtera tidak cukup berkesan.

“Antaranya pendekatan ‘walk-in’ wajar dipertimbangkan kepada rakyat Sabah yang belum lagi menerima janji temu khususnya di kawasan luar bandar memandangkan sebahagian mereka tidak mempunyai akses kepada kemudahan internet,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Sabah, berkata kaedah pemberian vaksin secara pandu lalu juga boleh dilaksanakan bagi memudahkan orang ramai menerima vaksin tanpa perlu turun dari kenderaan.

Sementara itu, Bung Moktar turut meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) untuk menyegerakan penghantaran vaksin ke Sabah bagi memastikan pemberian vaksin di negeri ini berjalan lancar.

Katanya, data JKJAV menunjukkan penerima vaksin bagi dos pertama dan kedua di negeri ini amat rendah berbanding negeri lain sekali gus mengundang kebimbangan rakyat lebih-lebih lagi dengan peningkatan kes COVID-19 di Sabah sejak kebelakangan ini.

“Pelbagai pendekatan sudah dilaksanakan kerajaan negeri seperti pembukaan lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) dan Program Outreach Vaksinasi COVID-19, namun tentu sukar untuk mencapai sasaran jika bekalan vaksin tidak mencukupi.

“Jadi kita mahu Kerajaan Pusat dan pihak berkaitan terutama JKJAV bertindak segera menghantar bekalan vaksin ke Sabah bagi mengurangkan jurang di dengan negeri lain dalam soal pemberian vaksin.

“Perkara ini tidak boleh dilengahkan kerana kita berdepan dengan ancaman virus COVID-19 yang lebih berbahaya berikutan penemuan varian baharu yang lebih mudah merebak. Kita perlu segera membentuk imuniti kelompok bagi mengurangkan risiko jangkitan,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *