Suri Rumah Buka ‘Food Bank’ Depan Rumah Di Putatan

sekitar beratur panjang untuk mendapatkan bantuan makanan secara percuma dari bank makanan mini yang dibuat Zurainee bersama ahli keluarga serta rakan terdekat di hadapan rumahnya di Pasir Putih, Putatan. Gambar Mohd Adam Arinin

PUTATAN: Bermodalkan kewangan sendiri, seorang suri rumah di Kampung Pasir Putih, dekat sini, mengambil inisiatif membuka bank makanan mini di hadapan rumahnya dalam usaha membantu golongan terjejas pendapatan akibat penularan Covid-19 memperoleh barangan keperluan harian.

Zurainee Kula, 48, berkata, walaupun melihat usahanya itu hanya sumbangan kecil kepada masyarakat, namun percaya ia sangat bermakna buat pihak yang memerlukan.

Gambar facebook Zurainee Kula

Menurut Zurainee, bank makanan mini itu tidak dibuka setiap hari dan baru beroperasi empat kali sejak 13 Julai.

“Awalnya saya dan keluarga membuka khemah dan hanya barangan keperluan asas yang diperlukan sahaja boleh diambil.

“Bagaimanapun, situasi menjadi tidak dikawal apabila saya mula memuat naik berkaitan bank makanan mini ini di Facebook

“Oleh itu, kami terpaksa mengubah konsep bantuan dengan memberikan bakul makanan dan perlu mengambil kupon bagi mengelakkan kekeliruan ketika penyerahan,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini, baru-baru ini.

Ibu kepada tujuh cahaya itu berkata dia sekeluarga pada mulanya hanya mampu menyediakan 20 bakul makanan sahaja, namun semakin ramai ahli keluarga serta rakan terdekat mahu turut sama menyalurkan sumbangan selepas mengetahui pendekatannya itu.

Zurainee berkata, dia bersyukur dan tidak menyangka usaha yang pada awalnya dilihat kecil mampu menarik perhatian ramai pihak untuk turut serta membantu golongan memerlukan ketika ini.

Dalam pada itu, Zurainee menyatakan dia sudah mendapatkan kebenaran daripada pihak polis serta Majlis Daerah Putatan ketika permulaan bank makanan berkenaan dibuka bagi mengelakkan berlaku sebarang rungutan.

Gambar facebook Zurainee Kula

“Kita sudah minta kebenaran daripada pihak berkuasa dan polis menyatakan tiada sebarang permit diperlukan sekiranya mahu membuka bank makanan.

“Bagaimanapun, pihak polis meminta kita memohon kebenaran daripada Majlis Daerah Putatan dan syukur setakat ini semuanya berjalan lancar,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *