Klinik Swasta Cetus Kluster Baharu Di Sabah

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Sebuah klinik swasta disyaki menjadi punca penularan Covid-19 yang mencetuskan kluster baharu berkaitan tempat kerja yang dilaporkan di Sabah pada hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, kluster membabitkan sebuah klinik di pekan Ranau itu tercetus selepas dua kakitangannya dikesan positif Covid-19 melalui saringan bergejala pada 10 Julai lalu.

Katanya, kedua-dua kakitangan klinik itu menjadi kes indeks bagi kluster berkenaan yang setakat ini merekodkan 15 kes positif Covid-19 termasuk membabitkan pelanggan klinik terbabit.

“Kluster Pekan Ranau itu membabitkan jangkitan yang disyaki bermula di sebuah klinik swasta sebelum menular kepada pelanggannya.

“Kluster tempat kerja ini dikesan oleh klinik berkenaan melalui saringan bergejala apabila dua orang kakitangan disahkan positif Covid-19 pada 10 Julai lalu, sekali gus menjadi kes indeks.

“Saringan terhadap 246 kontak seterusnya mengesan 13 lagi kes positif, masing-masing enam kes pada 13 Julai, dua kes pada 14 Julai dan lima kes pada 15 Julai,” katanya dalam kenyataan media malam ini.

Secara keseluruhan, Sabah hari ini merekodkan 326 kes baharu Covid-19 dengan tiga kematian iaitu masing-masing satu di Kota Kinabalu, Kalabakan dan Semporna, manakala seramai 345 pesakit dilaporkan sembuh.

Setakat hari ini, seramai 2,216 pesakit Covid-19 masih dirawat di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah di seluruh negeri, mewakili 48.96 peratus penggunaan katil daripada 4,526 katil yang disediakan untuk pesakit Covid-19 di Sabah. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *