Selesaikan Segera Masalah Kekurangan Vaksin Di Sabah, Ongkili Beritahu Kerajaan

Ahli Parlimen Kota Marudu, Maximus Ongkili, berkata kekurangan vaksin mengakibatkan ada temujanji penduduk yang terpaksa dibatalkan pada saat akhir.

KOTA KINABALU: Kerajaan digesa segera mengatasi masalah kekurangan vaksin Covid-19 di Sabah sehingga mengakibatkan masyarakat yang tinggal di pedalaman terpaksa dibatalkan temujanji berikutan masalah itu.

Ahli Parlimen Kota Marudu, Maximus Ongkili, berkata perkara itu tidak seharusnya berlaku terutama bagi masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Bekalan vaksin Covid-19 di daerah ini (Kota Marudu) tidak mencukupi menyebabkan temujanji segelintir penduduk kampung terpaksa ditunda pada saat akhir

“Ada juga antara mereka yang telah sampai ke pusat pemberian vaksin (PPV) namun diberitahu temujanji mereka telah ditunda.

“Kita khuatir mereka akan hilang keyakinan dan tidak mahu menerima vaksin pada temujanji akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Ongkili yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata, masalah itu bukan hanya berlaku di kawasannya tetapi di daerah lain termasuk juga negeri jiran, Sarawak.

“Saya telah memaklumkan perkara ini kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba agar masalah ini dapat diselesaikan segera

“Oleh itu, saya menyeru kepada pihak yang berkaitan agar memastikan bekalan vaksin di Sabah dan Sarawak mencukupi dan konsisten,” katanya.

Bagaimanapun, Ongkili berkata, pihak kerajaan telah melakukan yang terbaik dan komited dalam usaha pemberian vaksin kepada seluruh rakyat menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Katanya, menerusi usaha dilakukan kerajaan itu, pemberian vaksin diyakini dapat dipercepatkan kepada seluruh rakyat termasuk di kawasan pedalaman yang mana terdapat masyarakat yang tidak dapat ke kawasan bandar untuk menerima suntikan vaksin mereka.

“Buktinya, Malaysia berjaya mencapai kadar vaksinasi Covid-19 melebihi 300,000 dos sehari. Namun, saya percaya Sabah dan Sarawak juga mampu mencapai angka harian seperti ini sekiranya tidak ada masalah lain seperti kekurangan bekalan vaksin,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ongkili berkata, daerah Kota Marudu mempunyai populasi lebih 50,000 penduduk di mana hanya 27,598 orang atau 55% telah mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin.

“Di Kota Marudu sahaja sejumlah 7,899 individu telah menerima suntikan dos pertama dan 5,408 individu telah menerima suntikan dos kedua, manakala di daerah Matunggong, seramai 1,060 individu menerima dos pertama dan 1,052 telah menerima dos kedua vaksin.

“Saya menghargai kerjasama dan komitmen seluruh warga di kawasan Parlimen Kota Marudu yang telah mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 ini,” katanya.

Ongkili berkata, beliau melihat sambutan rakyat kepada usaha kerajaan itu sangat memberangsangkan walaupun pada awalnya sambutan agak perlahan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *