DUN Sabah Mesti Bersidang Bulan Ini – Madius

Wilfred Madius Tangau menggesa kerajaan negeri mengadakan semula sidang DUN sebelum perintah darurat berakhir pada tengah malam 1 Ogos untuk mengelakkannya terbubar secara automatik.

KOTA KINABALU: Bekas timbalan ketua menteri Sabah Wilfred Madius Tangau menggesa kerajaan negeri mengadakan semula sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum perintah darurat berakhir pada tengah malam 1 Ogos untuk mengelakkannya terbubar secara automatik.

Tangau yang menyuarakan gesaan itu kepada ketua menteri Hajiji Noor berkata, memandangkan kali terakhir DUN bersidang ialah pada 23 Disember 2020, ia telah melepasi tempoh selang enam bulan antara satu sesi legislatif dengan yang lain pada 23 Jun lalu.

“Darurat menghentikan tempoh legislatif itu dan mengelakkan pembubaran automatik berlaku, tetapi ia akan bersambung semula selepas 1 Ogos.

“Dengan mengadakan persidangan DUN semula selepas 1 Ogos, kerajaan negeri mendedahkan negeri ini kepada satu lagi pilihan raya mengejut selepas kali terakhir diadakan pada September 2020.

https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.471.1_en.html#goog_1728586287“Sekiranya ada yang berjaya mendapatkan deklarasi mahkamah bahawa DUN terbubar secara automatik pada 2 Ogos, rakyat Sabah mungkin terdedah kepada acara yang boleh menyebabkan penularan jangkitan lebih besar.

“Sebagai alternatif, Sabah akan diletakkan di bawah perintah darurat lain yang menghalang daripada keadaan kembali normal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tangau yang juga Presiden Upko, berkata persidangan itu boleh diadakan semula dalam tempoh sesingkat sehari, untuk beberapa keputusan penting seperti pindaan Peraturan Mesyuarat DUN untuk membolehkan dewan undangan negeri dan jawatankuasa bertemu secara maya atau hibrid.

Sementara itu, Tangau yang juga Ahli Parlimen Tuaran, turut meminta parti-parti di Sabah dan wakil rakyat bekerjasama dengan rakan seangkatan di Sarawak dan Semenanjung untuk bersama-sama menuntut beberapa langkah dalam desentralisasi.

Langkah itu bertujuan mengusahakan pindaan diperlukan terhadap perlembagaan bagi membolehkan negeri diberi kuasa lebih autonomi untuk menangani pandemik dan cabaran ekonomi serta pembangunan selepas pandemik.

Menurutnya, desentralisasi akan membolehkan Sabah mewujudkan kerajaan bahagian yang dipilih, sama seperti negeri di Semenanjung, yang sempadannya boleh digariskan semula untuk memperkasakan kepelbagaian budaya etno-linguistik di Sabah seterusnya membolehkan pembangunan ekonomi yang menyeluruh dapat dilakukan secara berkesan.

“Kerajaan negeri boleh menyerahkan penyusunan semula yang inovatif terhadap Sabah ini supaya menjadi negeri yang setara dengan Semenanjung kepada Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan yang menjadi orang pertama menyokong pengembalian semula bahagian dan residensi sebagai satu peringkat pentadbiran,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *