Beri Peluang Hajiji Tadbir Sabah Sebagai KM Ketika Pandemik – Salleh

Bekas menteri komunikasi dan multimedia, Salleh Said Keruak menjawab soalan daripada netizen dalam program “Sembang Santai” dikendalikannya secara atas talian.

KOTA KINABALU: Bekas menteri komunikasi dan multimedia, Salleh Said Keruak, mahu Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, diberi peluang mentadbir walaupun timbul spekulasi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bermasalah, susulan keputusan Umno menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, berkata mandat Hajiji sebagai ketua menteri kini tidak lagi sama seperti sebelumnya.

“Situasi sudah berbeza kerana tiada lagi satu parti yang memegang majoriti besar.

“Kita perlu bekerja bersama, fokus kepada pembangunan Sabah. Jika kita masih berpolitik, ini akan menyebabkan rakyat yang menderita akhirnya,” katanya dalam program atas talian, Sembang Santai, hari ini.

Beliau berkata, seperti mana kenyataan Ketua Umno Sabah, Bung Mokhtar Radin, yang kekal menyokong Hajiji, Said berkata, persoalan berlakunya penjajaran semula kuasa tidak timbul kerana parti membentuk GRS mempunyai hubungan baik.

Salleh berkata, Umno Sabah komited mengekalkan kerajaan sedia ada dan mahu melaksanakan tanggungjawab serta melunaskan janji kepada rakyat, seperti terkandung dalam manifesto pilihan raya.

“Kita (mesti) hanya berfikir tentang parti politik apabila pilihan raya umum berlaku. Dengan itu, biarlah rakyat bebas memilih.

“Jika mereka tidak gembira dengan prestasi, mereka boleh menukar (kerajaan), jika berpuas hati, mereka ‘lanjut kontrak’…itulah demokrasi. Namun, kita tidak boleh menukar (kerajaan) sesuka hati bila mana timbul masalah.

“Kadang-kadang, kita berdepan masalah berkomunikasi bagi memberi penjelasan apa yang kita sudah lakukan dan kekangan dihadapi ketika ini, iaitu kita tidak mampu bergerak seperti sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Jadi, Hajiji adalah ketua menteri pada hari ini. Tanggungjawab kita memastikan beliau melaksanakan amanah sebaiknya, di mana ianya bukan mudah hari ini,” katanya.

Semalam, Bung dalam kenyataannya memberi jaminan Umno kekal bersama GRS walaupun partinya di pusat, menarik sokongan terhadap perdana menteri.

Hajiji kemudian memberi penghargaan kepada Bung kerana konsisten dan memberi sokongan jitu menjamin GRS mengekalkan perpaduan, tanpa mengambil kira polemik di Kuala Lumpur, sambil terus memastikan kebajikan Sabah dan rakyat tetap terpelihara.

Sementara itu, Salleh berkata, Hajiji dan Bung sentiasa melakukan perundingan bersama membabitkan hal ehwal negeri, termasuk membabitkan sekutu dalam GRS, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jeffrey Kittingan dan Presiden Parti Bersatu Sabah, Maximus Ongkili.

“Apa sahaja yang berlaku di peringkat Persekutuan, kita tidak boleh membawanya melarat di Sabah kerana kerjasama antara Bersatu dan Umno di sini, cukup baik. Jangan biarkan masalah politik memisahkan kita.

“Keutamaan kita adalah keluar daripada Covid-19 dan memacu usaha pasca pandemik, juga membantu mereka yang terkesan. Rakyat sudah muak dengan politik,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *