Kluster Baharu Titian 2 Berasal Dari SPMP Filipina Di Kampunng Muslim

LABUAN:Kluster Titian 2 COVID-19 yang baru muncul di sini, berasal dari sekumpulan penduduk di Skim Penempatan Masyarakat Pelarian (SPMP) Filipina di Kampung Muslim.

Sekurang-kurangnya 37 kes dilaporkan setakat 8 Julai (semalam), daripada kluster itu selepas 870 orang disaring. 

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata Kampung Muslim merupakan penempatan pelarian yang sempit dan padat penduduk jadi risiko penularan COVID-19 adalah lebih besar.

“Kami telah menjalankan penilaian pengurusan risiko COVID-19 di penempatan ini kerana keadaan hidup di sini yang terlalu sesak, sudah tentu menimbulkan ancaman penularan penyakit berjangkit dan kemungkinan besar pendatang asing juga menimbulkan risiko penularan wabak selanjutnya,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dr Ismuni berkata pasukan kesihatan akan terus menjalankan saringan kepada kontak rapat pesakit COVID-19 dan penduduk di penempatan itu untuk kemungkinan penularan baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan Rithuan Ismail berkata polis telah mengadakan sekatan jalan di pintu masuk utama ke penempatan itu sejak tiga hari lepas. 

“Sekatan polis itu akan diperhebatkan kerana kemunculan kluster baharu di penempatan berkenaan.

Kami masih belum memutuskan berapa lama sekatan jalan akan diadakan kerana ia bergantung kepada penilaian pengurusan risiko oleh petugas kesihatan,” katanya.

Sementara itu Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan, Mohd Hafiez Daud berkata seramai 2, 912 pelarian di penempatan itu berdaftar dengan MKN.

“Pelarian ini kebanyakannya pemegang IMM13 (dokumen yang dikeluarkan untuk pelarian Filipina di Sabah dan Labuan) dan kami tidak menafikan, ada sebilangan kecil daripada mereka yang tinggal di penempatan itu adalah rakyat Malaysia,” katanya.

Labuan menyaksikan trend menurun dalam bilangan individu yang diuji positif COVID-19, merekodkan dua digit kes baharu empat hari lepas. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *