7 Lelaki Ditahan Seludup Minuman Keras Dari Labuan

Foto Ihsan PPM Wilayah 4 Sabah

BEAUFORT: Tujuh individu ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas disyaki cuba menyeludup masuk minuman keras dalam serbuan di kawasan sungai di Menumbuk, di sini, semalam.

Dalam serbuan jam 9 malam itu, semua yang ditahan membabitkan lelaki berusia lingkungan 27 hingga 47 tahun.

Foto Ihsan PPM Wilayah 4 Sabah

Mereka berjaya ditahan ketika sedang leka melakukan aktiviti pemunggahan minuman keras dari sebuah bot ke tiga kenderaan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Roslan Awang berkata, serbuan dilakukan hasil intipan terhadap beberapa individu di kawasan berkenaan.

Katanya, sebaik diserbu, pemeriksaan berjaya menemui 150 karton minuman keras pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM15,000 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Semua minuman keras itu dipercayai dibawa dari Labuan dan semua ketujuh-tujuh lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

“PPM turut merampas bot yang digunakan termasuk enjin yang berkapasiti 200 kuasa kuda,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, turut dirampas tiga kenderaan yang digunakan untuk penghantaran dan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah hampir RM338,000.

“Tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *