Pembantu Jualan Pasar Raya Di 1 Borneo Cetus Kluster Baharu Di Sabah

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Seorang pembantu jualan di sebuah pasar raya besar di kompleks beli belah 1 Borneo di sini, mencetuskan kluster baharu COVID-19 yang menjangkiti rakan sekerja dan ahli keluarga.

Kluster Agora Borneo itu tercetus selepas wanita berumur 24 tahun itu dikesan positif COVID-19 ketika saringan di Klinik Kesihatan Manggatal pada 30 Jun lalu selepas bergejala selama 10 hari sebelum itu.

Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata wanita dari Kampung Lokub, Kota Kinabalu itu sekali lagi disahkan positif COVID-19 melalui saringan kedua di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas pada 1 Julai lalu.

Kes indeks itu kemudiannya dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut, disusuli saringan kontak untuk mengesan jangkitan lain membabitkan rakan sekerja dan ahli keluarga.

“Daripada 133 sampel yang diambil dalam kalangan kontak rapat, 26 sampel dikesan positif COVID-19 termasuk 17 kes baharu yang direkod hari ini. Pengesanan kontak secara aktif sedang giat dijalankan oleh pasukan kesihatan,” katanya dalam kenyataan.

Secara keseluruhan, Sabah hari ini merekodkan 225 kes baharu positif COVID-19, dengan satu kematian yang dilaporkan di daerah Tawau, manakala seramai 199 pesakit dilaporkan sembuh.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata daerah Kota Kinabalu merekodkan kes tertinggi hari ini dengan 70 kes baharu, diikuti Beaufort (57 kes), Tawau (21) dan Putatan (18). – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *