400 Orang Di SPMP Filipina, Labuan Jalani Saringan COVID-19

LABUAN, 4 Julai : Sekurang-kurangnya 400 orang di Skim Penempatan Masyarakat Pelarian (SPMP) Filipina di Kampung Muslim di sini, menjalani ujian saringan COVID-19 hari ini dalam satu operasi yang digelar, Ops Bersih COVID-19.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata pengesanan kes aktif secara besar-besaran menggunakan Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) itu bertujuan mencari kes yang tidak dapat dikesan di penempatan penduduk padat.

“Kami tidak mampu mempunyai kes berulang di penempatan pelarian yang akan memberi kesan buruk (penularan COVID-19 yang lebih luas) kepada masyarakat setempat.

“Pengesanan kes secara besar-besaran di penempatan ini adalah penting kerana bilangan pekerja yang ramai di kedai makan dan kedai di pusat bandar serta pekerja pembinaan yang datang dari kawasan penempatan ini,” katanya kepada Bernama selepas operasi itu hari ini.

Beliau berkata mereka yang telah menjalani ujian saringan diberi gelang kuarantin, yang akan dibuka sebaik sahaja diuji negatif keesokan hari.

“Kami mempunyai lapan pasukan untuk kendalikan ujian saringan di tiga kawasan berhampiran pintu masuk  penempatan, iaitu berhampiran surau dan jeti di pasar ikan lama di pusat bandar,” katanya.

Beliau berkata Ops Bersih COVID-19 yang pertama dijalankan di SPMP kedua, Filipina di Kiamsam pada 30 Jun, iaitu hampir 2,000 orang menjalani saringan itu dan hanya sebilangan kecil diuji positif.

“Kami menggandakan usaha untuk mengeluarkan Labuan daripada zon merah walaupun bilangan petugas kesihatan terhad, kerana tumpuan utama sekarang adalah untuk melihat sektor ekonomi dibuka dan penduduk tempatan tidak lagi risau mahu bergerak ke mana-mana,” katanya. 

Labuan menyaksikan kadar positif peratusnya turun semula kepada dua digit iaitu 75, dengan pakar tempatan menyatakan trend menurun sebagai petanda baik, tanpa kes kematian dilaporkan dan kekal dengan 129 kematian setakat hari ini.  – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *