Saringan Di Pulau Gaya Punca Lonjakan Kes Covid-19 Di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Saringan bersasar di Pulau Gaya di sini menjadi penyumbang utama kepada kenaikan mendadak kes baharu Covid-19 yang dikesan di Kota Kinabalu hari ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Masidi Manjun.

Katanya, daerah berkenaan mencatat 120 kes hari ini, meningkat 48 kes berbanding semalam, dengan 92 kes adalah daripada saringan bersasar, iaitu 62 di Kampung Laban dan 30 lagi di Kampung Pondo, kedua-duanya terletak di Pulau Gaya.

”Selain itu, kluster baharu, iaitu Bahtera Barat, menyumbang lima lagi kes di Kota Kinabalu hari ini, manakala lain-lain kes adalah daripada saringan kontak rapat sebanyak 18 kes, saringan bergejala empat kes, dan satu kes daripada lain-lain kategori,” katanya dalam taklimat harian perkembangan Covid-19 di Sabah hari ini.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap Covid-19 negeri berkata, Kluster Bahtera Barat membabitkan penularan jangkitan di pelantar cari gali minyak syarikat Saputra Pelantar Erb West.

Katanya, kes indeks bagi kluster itu adalah seorang kakitangan pelantar berkenaan berusia 31 tahun.

”Dia (kes indeks) tidak menunjukkan sebarang gejala namun disahkan positif dalam saringan prosedur ‘sign off’ kapal pada 8 Jun ketika menjalani kuarantin wajib di salah sebuah hotel di Kota Kinabalu.

”Pasukan kawalan yang menjalankan aktiviti pengesanan kontak dan saringan secara bersasar di lokaliti terbabit mengenalpasti syarikat berkenaan mempunyai 162 kakitangan.

”Daripada 301 sampel yang diambil termasuk sampel ulangan, 17 sampel didapati positif, termasuk lima kes baharu yang direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini sebanyak 18 kes,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *