Sabah Sasar Vaksinasi 20,000 Orang Sehari

KOTA KINABALU, 4 Julai : Kira-kira 10,000 hingga 11,000 rakyat di seluruh Sabah menerima suntikan vaksin dalam sehari, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Dalam kenyataan hari ini, menurut Bung Moktar, jumlah itu boleh ditingkatkan kepada 20,000 orang sehari sekiranya bekalan vaksin mencukupi.

“Proses vaksinasi rakyat negara ini khususnya Sabah perlu dipercepatkan kerana kerajaan negeri menyasarkan sekurang-kurangnya 85 peratus rakyat Sabah sudah divaksin menjelang Oktober ini,” katanya,

Setakat 28 Jun, Sabah telah menerima  628,390 dos atau 254,565 botol vaksin COVID-19 untuk kegunaan rakyat, dan daripada jumlah itu, sebanyak 601,420 dos vaksin sudah digunakan menerusi dua fasa pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat negeri, setakat Sabtu.

Pendaftaran rakyat Sabah sebagai penerima vaksin pula menunjukkan jumlah kumulatif 900,021 atau 32.6 peratus, setakat Sabtu.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Rumpun Etnik Sabah Yahya Ahmad dalam kenyataan berasingan menyarankan Jabatan Kesihatan Sabah melakukan gerakan bersepadu pemberian vaksinasi dengan mengambil kira cerapan, data, lokasi penduduk, kekangan pergerakan dan kepadatan populasi penduduk di setiap daerah.

Langkah itu bagi membolehkan jumlah dos vaksin diagihkan lebih adil dan pembukaan PPV diurus secara strategik dengan tidak hanya berpusat di hospital atau dewan, selain pasukan vaksinasi boleh digerakkan ke setiap kawasan mengikut jadual tersusun ke arah mencapai matlamat imunisasi berkelompok, katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *