30,000 Bakul Makanan Diagih Di Parlimen Kinabatangan

Datuk Seri Bung Moktar Radin (tengah) menyerahkan bakul makanan kepada penduduk di Kampung Sangau, Kinabatangan.

KOTA KINABALU: Kira-kira 30,000 bakul makanan diagihkan kepada golongan sasar di Parlimen Kinabatangan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada awal tahun lalu hingga PKP 3.0 yang bermula 1 Jun lalu.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, jumlah itu merangkumi bakul makanan yang diagihkan di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam Parlimen berkenaan, iaitu Lamag, Sukau dan Kuamut.

Katanya, pengagihan bantuan berkenaan menggunakan peruntukan disediakan kerajaan Pusat dan negeri selain inisiatif beliau sendiri serta sumbangan syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) seperti Sawit Kinabalu yang baru-baru ini menyumbang 1,500 bakul makanan di ketiga-tiga kawasan Dun.

“Bantuan ini tidak terhenti di sini sahaja. Selagi ada rakyat yang menghadapi kesusahan tidak kira di mana sahaja mereka berada, bantuan akan kita salurkan sama ada di Dun Lamag, Sukau atau Kuamut.

“Pengagihan bantuan akan diselaraskan oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di kawasan Dun masing-masing dan kita akan memastikan tiada rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di kawasan ini tersisih daripada bantuan bakul makanan,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Kinabatangan adalah antara kawasan Parlimen terbesar di negara ini dengan keluasannya hampir menyamai negeri Pahang.

Bung Moktar sebelum ini turut turun padang menyalurkan bantuan bakul makanan kepada penduduk dengan yang terbaharu di Kampung Balat dan Sangau, Kinabatangan sempena program jangkauan luar vaksinasi Covid-19, minggu lalu.

Rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP di Sabah diberikan bantuan bakul makanan sejak tahun lalu dan bulan lalu kerajaan negeri menyediakan peruntukan khas lebih RM34 juta berikutan pelaksanaan PKP 3.0 untuk mengagihkan 343,665 bakul makanan di 73 kawasan Dun .

Terbaharu, kerajaan Pusat turut mengumumkan peruntukan RM300,000 kepada setiap Ahli Parlimen untuk bantuan bakul makanan di kawasan masing-masing. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *