‘Kelewatan Vaksin Jejas Proses Pemulihan Sabah’

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Penggiat industri di Sabah menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan Sabah berdepan proses pemulihan ekonomi yang lambat berikutan kelewatan penghantaran bekalan vaksin COVID-19 ke negeri itu.

Presiden Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (SHAREDA), Datuk Chua Soon Ping, berkata kelewatan itu punca utama ramai penduduk belum divaksin hingga menjadikan Sabah sebagai negeri paling rendah vaksinasi di seluruh negara.

Katanya, peratusan pendaftaran untuk mendapatkan vaksin COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera yang turut menunjukkan Sabah sebagai negeri paling rendah kadar pendaftaran tidak sepatutnya dijadikan ukuran untuk penghantaran vaksin ke negeri itu.

“Kadar vaksinasi yang rendah sudah tentu akan melambatkan pemulihan ekonomi di negeri ini. Sehubungan itu, kerajaan perlu meningkatkan penghantaran vaksin ke Sabah dan memperuntukkan sumber yang mencukupi untuk mempercepatkan vaksinasi.

“Kadar vaksinasi yang rendah juga akan menyebabkan Sabah mudah terdedah kepada gelombang penularan lain COVID-19. Lebih membimbangkan ada laporan mengatakan Sabah merekodkan dua kes varian Delta, kelmarin,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Berdasarkan statistik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), Sabah mencatat kadar pendaftaran vaksinasi terendah di seluruh negara dengan hanya 32.5 peratus, manakala 9.9 peratus penduduk menerima dos pertama vaksin dan hanya 7.15 peratus lengkap dua dos setakat kelmarin.

Peratusan itu jauh ketinggalan berbanding negeri jiran, Sarawak yang sehingga kelmarin sudah mencapai 40 peratus penduduk menerima dos pertama vaksin dan dijangkakan negeri itu mampu mencapai imuniti kelompok 80 peratus penduduk divaksin pada bulan depan.

Peratusan vaksinasi yang rendah juga sebab utama Sabah belum dapat beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.

Sementara itu, Soon Ping berkata kerajaan negeri perlu membuat keputusan sendiri mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan di negeri ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Sabah seharusnya diberikan hak untuk membuat keputusan mengenai pelaksanaan SOP sendiri berdasarkan situasi tempatan supaya kita dapat menentukan pendekatan yang lebih berkesan untuk mengatasi masalah dalam masa yang tepat.

“Situasi dan masalah yang dihadapi di Sabah sangat berbeza dengan apa yang berlaku di Semenanjung, jadi sudah tentu ia tidak berkesan untuk Sabah mengikuti SOP yang sama di Semenanjung terutama bagi mengelak wabak atau kejatuhan ekonomi,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *