JHEAINS Sabah Dicadangkan Longgar Syarat 2 Dos Untuk Solat Di Masjid & Surau

KOTA KINABALU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan pejabat mufti negeri diminta mengkaji balik syarat hanya membenarkan individu yang telah menerima dua dos vaksin Covid19 sahaja boleh beribadah di masjid.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai, Sarifuddin Hata berkata, kelonggaran perlu diberikan dengan turut membenarkan ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan ahli kariah untuk menunaikan solat jumaat dan solat berjemaah lima waktu di masjid.

Sarifuddin Hata

Katanya, golongan ini perlu dibenarkan kerana merekalah yang selama ini mengimarahkan masjid setiap hari tetapi sehingga kini kebanyakkannya masih belum menerima vaksin walaupun telah mendaftar.

“Adalah tidak adil kepada mereka kerana bukan semua orang yang telah ambil dua dos itu pergi ke masjid selalu, maksud saya contoh selalunya AJK masjid dan ahli kariah masjid yang sering ke masjid mengimarahkan masjid setiap hari.

“Tetapi mereka ini belum divaksin atau sudah vaksin satu dos tetapi yang dos kedua belum, harus diingat kebiasaannya orang yang biasa turun ke masjid saja datang ke masjid jadi jika syarat dua dos itu diguna pakai bermakna solat lima waktu juga akan berkurangan tidak ramai datang kerana AJK dan ahli kariah belum divaksin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sarifuddin berkata, kebanyakkan AJK dan ahli kariah masjid yang belum menerima vaksin bukan disebabkan mereka tidak mahu disuntik, sebaliknya kegagalan kerajaan untuk menyediakan jumlah vaksin mencukupi menyebabkan rakyat masih menunggu.

Justeru katanya, kerajaan tidak boleh seolah-olah menghukum golongan tersebut disebabkan kegagalan kerajaan sendiri sebaliknya mereka boleh dibenarkan ke masjid asalkan SOP yang ditetapkan dipatuhi sepenuhnya.

“Apa yang paling penting ialah pematuhan SOP seperti pakai pelitup muka, penjarakkan sosial satu meter supaya mengelakkan berlaku kesesakkan dalam masjid itu yang lebih penting buat masa ini kerana saya pasti ramai sudah daftar tetapi belum dapat janji temu.

“Jangan hukum rakyat dengan penentuan SOP yang tidak patut hasil daripada kegagalan kerajaan sendiri termasuk kegagalan menyediakan lebih banyak pusat vaksin di seluruh Sabah termasuk kampung-kampung dan sebagainya,” tegasnya.

Tambah Sarifuddin, umat Islam sudah terlalu rindu untuk ke masjid dan atas faktor tersebut mereka telah mendaftar untuk menerima vaksin tetapi masih belum menerima jadual janji temu atau ditangguh tarikh disebabkan bekalan vaksin yang tidak cukup.

“Di sini jelas bukan salah rakyat tetapi kerajaan sendiri yang tidak sediakan vaksin cukup untuk rakyat jadi perlulah dilonggarkan syarat bukan hanya mereka yang ada dua dos vaksin sahaja tetapi benarkan juga orang lain untuk solat Jumaat dan berjemaah lima waktu di masjid,” jelasnya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *