5 Lokaliti Di Sabah Dikenakan PKPD Mulai 4 Julai

Pelaksanaan PKPD selama 14 hari di lima lagi lokaliti di Sabah adalah susulan peningkatan jangkitan Covid -19.

KUALA LUMPUR: Berikutan kes Covid-19 yang meningkat dalam tempoh singkat dengan kadar kebolehjangkitan tinggi, lima lokaliti di empat daerah di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 4 Julai sehingga 17 Julai 2021.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, di Kota Belud membabitkan dua lokaliti dikenakan PKPD iaitu Kampung Siasai Dundau dan Kampung Pantai Emas.

Katanya, sebanyak lapan kes direkodkan di Kampung Siasai Dundau selepas 15 individu disaring manakala di Kampung Pantai Emas, seramai 73 orang disaring dan 10 kes dilaporkan.

“PKPD turut dikenakan di Kampung Naruntung, Pitas, selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan situasi semasa mendapati setelah melaksanakan 86 ujian saringan, 21 daripadanya dikesan positif Covid-19.

“PKPD Kampung Iban Kuala Nansang, Tawau, pula dikenakan selepas KKM melaksanakan 14 ujian saringan dan lapan daripadanya dikesan positif,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Turut dikenakan PKPD, katanya, Kampung Babagon di Penampang selepas KKM yang melaksanakan 40 ujian saringan mendapati 11 daripadanya positif Covid-19.

“Bagi semua lokaliti yang berkenaan, KKM mendapati kes sudah meningkat dalam tempoh singkat dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

“Justeru, selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di lokaliti itu mulai berkuatkuasa 4 Julai sehingga 17 Julai 2021.

“Pelaksanaan PKPD untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti itu,” katanya.

Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini, maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) di www.mkn.gov.my.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *