Risau Isteri Minta Cerai, Lelaki Buat Laporan Polis Palsu

Sahimi Husin

KOTA BELUD: Bimbang isteri minta cerai, seorang lelaki nekad membuat laporan palsu kononnya disamun dua lelaki di Kampung Pirasan, di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, tindakannya itu bukan saja gagal mendapat perhatian isterinya malah lelaki berusia 30-an itu ditahan selepas didapati positif dadah jenis syabu.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin berkata, suspek membuat laporan polis kira-kira jam 9 malam tadi dengan mendakwa disamun dua lelaki yang turut melarikan motosikal miliknya.

Bagaimanapun katanya, hasil siasat mendapati laporan yang dibuat mencurigakan sebelum suspek akhirnya mengaku membuat laporan palsu.

“Suspek kemudiannya membawa polis ke lokasi dia menyembunyikan motosikalnya dan turut mengaku terpaksa membuat laporan itu kerana mahu menyelamatkan rumah tangganya.

“Polis kemudiannya membuat ujian saringan air kencing sebelum didapati positif dadah jenis syabu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sahimi berkata, suspek kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, jika sabit kesalahan, suspek berhadapan dengan hukuman penjara berserta denda jika sabit kesalahan kerana membuat laporan palsu.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihak polis memandang serius perbuatan tidak bertanggungjawab itu dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana Individu yang masih berdegil membuat laporan palsu. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *