10,400 Anggota Tentera Di Sabah Sudah Terima Vaksin

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Seramai 10,400 anggota tentera di Sabah setakat ini sudah menerima suntikan vaksin.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata jumlah berkenaan menunjukkan 95 peratus daripada 11,000 anggota tentera membabitkan Tentera Darat, Tentera Udara dan Tentera Laut di negeri terbabit sudah memperoleh sama ada suntikan pertama vaksin atau lengkap menerima suntikan vaksin sepenuhnya.

“Seramai 5,111 orang anggita Tentera Darat terdapat di negeri ini dan 4,900 telah menerima vaksin.

“Selain itu, 3,585 anggota daripada 3,748 orang anggota Tentera Laut di Sabah juga sudah diberikan vaksin manakala 1,241 orang daripada 1,367 anggota Tentera Udara kini sudah melalui proses vaksinasi.

“Secara keseluruhannya, seluruh anggota tentera di Sabah sudah mencapai vaksinasinya sebanyak 95 peratus.

“Hanya tinggal kira-kira empat peratus lagi yang belum divaksin ketika ini. Bagaimanapun, kita mensasarkan dapat memberikan vaksin kepada seluruh anggota apabila bekalan vaksin tiba,” katanya ketika sidang media selepas meninjau Program Vaksinasi Pandu Lalu Tentera Darat di Kem Lok Kawi, dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, seramai 636 anggota tentera, keluarga dan kakitangan awam dalam Kem Lok Kawi dan sekitar daerah berhampiran disenaraikan sebagai penerima suntikan vaksin pada program terbabit.

Seramai 67 penerima awal adalah membabitkan anggota tentera manakala 439 lagi adalah ahli keluarga masing-masing.

Selain itu, turut menerima vaksin membabitkan 61 askar wataniah serta 69 kakitangan Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Bermula jam 8 pagi, pemberian vaksin secara pandu lalu itu membabitkan tiga saluran kenderaan dan enam stesen suntikan.

Program berkenaan menjadi lokasi ketiga selepas projek perintis pertama yang dilaksanakan di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur danKem Muara Tuang, Sarawak pada 20 Jun lalu.

Sementara itu, Ismail berkata, pihaknya juga kini menyediakan perkhidmatan Combat Medic Vaccination Programme Covid-19 (CMVT) bagi memberikan vaksinasi kepada penduduk di kawasan pedalaman.

“CMVT ini membabitkan kawasan yang tidak mempunyai akses jalan ataupun sukar dilalui dan memakan masa sehingga 7 jam.

“Kewujudan CMVT ini adalah bagi membantu kerajaan Sabah memberikan vaksin kepada penduduk di kawasan pedalaman.

“Kita akan menggunakan apa saja kenderaan sama ada menggunakan trak atau menggunakan helikopter untuk sampai ke kawasan pemduduk supaya mereka tidak perlu keluar untuk mendapatkan vaksin,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *