Covid-19: 203 Kes Positif, 2 Kluster & 1 Kematian Baharu Di Sabah Hari Ini

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun, berkata dua kluster baharu Covid-19 yang dicatatkan di Sabah, hari ini, membabitkan jangkitan di tempat kerja.

Katanya, ia membabitkan Kluster Paris Tiga di Kinabatangan dan Kluster Brumas Camp di Kalabakan dengan jumlah keseluruhan kes positif dicatatkan sebanyak 49 kes.

“Kluster Paris Tiga melibatkan penularan jangkitan di tempat kerja iaitu sebuah Kilang Sawit Bell, di Kinabatangan dan kes indeks merupakan kerani wanita berusia 41 tahun yang bergejala sejak 7 Jun sebelum dimasukkan ke Hospital Lahad Datu pada 14 Jun seterusnya disahkan positif Covid-19 melalui ujian saringan RT-PCR pada 18 Jun.

“Susulan kes itu, saringan kontak rapat mengesan 28 lagi kes positif dalam kalangan penduduk perumahan kilang terbabit, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 29 kes dan semua kes positif telah menjalani penilaian serta pemeriksaan di Hospital Kinabatangan seterusnya dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) risiko rendah Kinabatangan,” katanya dalam taklimat harian perkembangan Covid-19 di Sabah.

Masidi berkata, Kluster Brumas Camp yang dicatatkan hari ini pula membabitkan 20 kes positif Covid-19 dengan kes indeks ialah seorang guru berusia 50 tahun yang juga ahli jawatankuasa (AJK) masjid di kawasan berkenaan.

Katanya, selain jangkitan di tempat kerja, kluster baharu di mukim Brumas itu turut membabitkan jangkitan dalam komuniti.

“Kes indeks adalah guru lelaki di SK (Sekolah Kebangsaan) Brumas yang juga AJK Masjid Al-Ubudiyah di perumahan Brumas Camp dalam ladang perkayuan Sabah Softwood.

“Kes indeks disahkan positif Covid-19 di Klinik Kesihatan Tawau pada 12 Jun dan sehingga 22 Jun lalu, saringan yang dijalankan terhadap 75 kontak kemudian mengesan 19 lagi kes positif dalam kalangan kontak rapat, rakan sekerja dan AJK masjid yang tinggal di perumahan berkenaan.

“Turut disahkan positif Covid-19 ialah isteri serta dua anak kepada kes indeks yang salah seorang daripadanya bekerja di Ladang Perkayuan Brumas Camp Softwood,” katanya.

Terdahulu, Masidi berkata, sebanyak 203 kes Covid-19 baharu dicatatkan di Sabah, hari ini, dengan satu lagi kes kematian direkodkan iaitu membabitkan pesakit di Kota Kinabalu.

“Sementara itu, jumlah pesakit Covid-19 discaj dari hospital, hari ini, ialah seramai 220 menjadikan jumlah kumulatif 66,115 orang.

“Setakat ini, seramai 1,399 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 442 orang di hospital, 946 orang di PKRC awam manakala 11 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) serta penjara.

“Bilangan pesakit dalam ICU (unit rawatan rapi) pula ialah seramai 72 orang dan 20 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan atau ventilated,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *