5 Lagi Lokaliti Di Sabah Dikenakan PKPD Bermula 26 Jun

PUTRAJAYA: Lima lagi lokaliti di Sabah dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) selama 14 hari, bermula Sabtu ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD lima lokaliti tersebut di Kampung Muhibbah, Menggatal, Kota Kinabalu; Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan, Tawau; Kampung Kuala Merotai, Kalabakan; Kampung Tahak, Membakut, Beaufort serta Flat Indah Jaya, Sandakan.

Di Kampung Muhibbah, KKM mendapati berlaku peningkatan kes dalam tempoh singkat apabila 12 individu dikesan positif COVID-19 hasil saringan 18 penduduk.

“Sebanyak 14 kes positif COVID-19 direkodkan daripada 66 ujian saringan dilakukan KKM dengan kadar positif 21.21 peratus di Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, KKM melakukan 26 ujian saringan dan 13 disahkan positif dengan kadar positif 50 peratus di Kampung Kuala Merotai.

Katanya, setakat ini di Kampung Tahak menunjukkan sebanyak 11 kes positif hasil 98 ujian saringan dilakukan KKM dengan kadar positif 11.22 peratus.

“Di Flat Indah Jaya sehingga kini melaporkan KKM melakukan 252 ujian saringan dan 11 daripadanya disahkan positif COVID-19,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di semua lokasi berkenaan berkuat kuasa 26 Jun hingga 9 Julai ini susulan penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM.

Pelaksanaan PKPD bertujuan memastikan penduduk dan penghuni berisiko dijangkiti COVID-19 kekal berada dalam kawasan berkenaan.

SOP PKPD sama seperti diumumkan sebelum ini yang boleh diakses di laman WEB Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi www.mkn.gov.my.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *