Covid-19: Vaksin Dos Tunggal Sesuai Untuk Penduduk Pulau Di Semporna

Bagi kakitangan kesihatan Semporna, usaha meyakinkan penduduk Pulau Bum Bum dan penduduk di 27 buah pulau lain di daerah itu agar bersetuju divaksin perlu diteruskan sehingga kempen imunisasi di daerah itu berjaya. – Foto BERNAMA

SEMPORNA, 20 Jun : Penduduk yang tinggal di pulau-pulau yang jauh dari Pekan Semporna di sini, lebih sesuai untuk diberikan dengan vaksin COVID-19 jenis dos tunggal bagi memudah dan melancarkan lagi program vaksinasi selain menjimatkan kos pengangkutan, masa serta mengurangkan risiko. 

Pegawai Kesihatan Daerah Semporna Dr Shameer Khan Sulaiman berkata beliau telah memaklumkan perkara itu dalam mesyuarakat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama menteri dan pengurusan tertinggi baru-baru ini.

Pegawai Kesihatan Daerah Semporna Dr Shameer Khan Sulaiman

“Saya minta vaksin dos tunggal diberikan kepada penduduk pulau kerana ia lebih sesuai… risau jika diberikan vaksin jenis dua dos, apabila kita datang semula ke pulau untuk suntikan kedua, mereka menghilang, ini akan membazir masa dan kos.

“Saya yakin pihak KKM faham dengan kekangan yang dihadapi dari segi geografi ini, jadi vaksin jenis satu dos ini memang amat diperlukan kerana Semporna mempunyai banyak pulau yang terletak jauh dari pekan misalnya Pulau Denawan dan Pulau Omadal yang terletak dua jam perjalanan,” katanya kepada Bernama hari ini. 

Sebelum ini Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua jenis vaksin  COVID-19 yang hanya memerlukan satu suntikan dos, masing-masing buatan CanSino dan Johnson & Johnson diberi kelulusan pendaftaran bersyarat Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Sementara itu, Pegawai Daerah Semporna Juraimin Jadil berkata Angkatan Tentera Malaysia turut bersedia menggerakkan aset seperti helikopter bagi membantu urusan vaksinasi di pulau-pulau yang terletak jauh dari Semporna.

“Dalam mesyuarat dengan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) negeri baru-baru ini kita dimaklumkan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membantu proses vaksinasi di pedalaman serta pulau-pulau.

“Ketika ini projek permulaan mereka di Long Pasia, dan selepas itu mereka (ATM) akan ada mesyuarat untuk projek sama di Semporna serta Tungku, Lahad Datu,” katanya.

Jumlah penduduk Semporna yang menerima suntikan vaksin COVID-19 ketika ini direkodkan hanya 10,000 orang daripada 140,000 penduduk. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *