Warisan Gesa Segera Buka Parlimen

Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) segera membuka sidang Parlimen sebaik sahaja tempoh darurat tamat pada 1 Ogos ini seperti yang diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal berkata, Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu amat prihatin dengan kesusahan yang dihadapi rakyat yang terkesan semasa pandemik Covid-19.

Beliau berkata, titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja agar sidang parlimen segera bersidang sangat bertepatan dengan usaha setiap wakil rakyat semua parti yang diwakili dalam usaha membantu rakyat yang semakin terhimpit akibat pandemik Covid-19.

“Pembukaan semula Dewan Rakyat akan membolehkan sidang parlimen diadakan dan perbincangan Ordinan-Ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara terutama yang melibatkan perbelanjaan berkaitan Covid-19 dapat diteliti.

“Proses semak imbang akan dapat dilakukan secara lebih berkesan agar ia benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya.

Mohd Shafie berkata, pembukaan Parlimen ini penting supaya nasib rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 terus terbela.

Tambahnya, wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat mempunyai tanggungjawab dan amanah besar bagi memastikan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat di kawasan mereka dibela dan diambil peduli.

Menurutnya, keputusan yang dizahirkan secara bersama oleh Majlis Raja-Raja adalah tepat kerana sepanjang tempoh darurat, angka korban Covid-19 yang direkodkan tidak menunjukkan sebarang penurunan, sebaliknya kes-kes positif semakin bertambah saban hari.

Situasi ini amat membimbangkan bukan hanya memberi kesan yang teruk kepada keadaan ekonomi negara, malahan institusi kesihatan dan juga kesejahteraan serta keselamatan rakyat juga terjejas.

Katanya, banyak negara-negara lain di dunia yang tidak berada dalam pemerintahan darurat tetapi masih mampu mentadbir urus dan membendung penularan pandemik Covid-19 dengan baik.

Malah, mereka turut memudahkan proses pemberian vaksin secara menyeluruh kepada semua rakyat, tidak kira yang berada di dalam bandar mahupun di kampung-kampung. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *